Siakap Keli

JAWI, DBKL, Masjid & Surau Jumaat Di Wilayah Persekutuan Anjur Program “Aidilfitri@Dataran Merdeka” Pada 28 Mei Ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2022 – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan kerjasama rakan strategik akan menganjurkan Program “Aidilfitri@Dataran Merdeka” pada 28
Mei 2022 (Sabtu) bersamaan 27 Syawal 1443H, bermula jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Program ini diinisiatifkan melalui pendekatan mengumpulkan masjid-masjid dan surau Jumaat terpilih sekitar Wilayah Persekutuan bagi menyediakan gerai jamuan masing-masing dalam menyantuni tetamu dan menjamu makanan secara percuma kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang
kaum, bangsa dan agama. Sebanyak 120 buah masjid dan surau Jumaat akan mengambil bahagian dalam acara tersebut termasuk dari Putrajaya dan Labuan serta menyasarkan kehadiran seramai 10,000 orang pengunjung. Program dengan konsep yang serupa julung kali diadakan pada tahun 2019
sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Acara berkenaan telah menarik kehadiran 20,000 pengunjung pelbagai latar belakang dengan menu tarikan utama kambing golek dan durian. Acara tersebut turut menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori “Penganjuran Masjid
Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya.”

Melalui penganjuran program Aidilfitri@Dataran Merdeka, kami berhasrat untuk menjalinkan silaturahim dalam kalangan “Keluarga Malaysia” khususnya masyarakat sekitar Wilayah Persekutuan; Membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan; Menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan; Memasyarakatkan dan mempromosikan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah serta memperkenalkan keunikan makanan Malaysia kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain menikmati jamuan Hari Raya, beberapa acara selingan turut diadakan di pentas utama seperti persembahan istimewa dari kumpulan nasyid Rabbani dan beberapa persembahan yang lain. Turut diadakan aktiviti sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim dan asnaf. Sepanjang program
berlangsung, 1000 pek makanan pelbagai menu akan disediakan oleh 120 gerai masjid-masjid dan rakan strategik. Antara menu tersebut termasuklah 70 ekor Kambing Golek, Ayam Golek, Nasi Briyani, Ayam KFC, Pizza, Dim Sum, Roti Canai, beberapa hidangan tradisi seperti Lemang, Ambuyat, Kelupis, Kek Lapis, aneka buah-buahan, Cendol dan pelbagai lagi. Hidangan makanan tersebut akan disediakan secara ‘first come first serve.’

Kami mengalu-alukan dan menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan acara Aidilfitri@Dataran Merdeka khususnya penduduk sekitar Wilayah Persekutuan.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa