Siakap Keli
Gambar Hiasan (Sumber: Google)

Malaysia Henti Eksport Ayam, Harga Nasi Ayam Di Singapura Dijangka Naik 10 – 30 Peratus

Mengikut Laporan Mothership, harga nasi ayam di Singapura dijangka akan meningkat tidak lama lagi sejurus apabila berita mengenai Malaysia akan menghentikan eksport ayam buat sementara bermula daripada 1 Jun.

Menurut Bloomberg, harga ayam sebenarnya sudahpun meningkat sebanyak 5.7 peratus sejak April lalu.

Keputusan berkenaan kemudian dijangka memberikan kesan kepada beberapa sektor berkaitan terutamanya industri makanan seperti perniagaan nasi ayam.

Perkara berkenaan diakui oleh para peniaga nasi ayam di negara berkenaan yang mengesahkan bahawa harga jualan nasi ayam mereka terpaksa dinaikan.

“Sudah tentu kami perlu menaikkan harga untuk pelanggan kami. Kami tiada pilihan” kata-kata daripada penjual nasi ayam tersebut.

Beberapa pemilik gerai nasi ayam juga menjangkakan kenaikan harga ayam adalah diantara 10 sehingga 30 peratus.

Memetik daripada seorang pakar ekonomi di CIMB Private Banking di Singapura, Bloomberg menyatakan pelanggan harus menerima hakikat bahawa “ayam yang digunakan untuk nasi ayam mereka itu mungkin adalah ayam sejuk beku, bukannya ayam segar” sambil menambah ianya hanyalah soal persepsi terhadap aroma dan rasa sahaja.

Bagaimanapun, status bekalan ayam sejuk beku juga tidak pasti ketika ini dengan mengambil kira keputusan Malaysia menghentikan eksport.

Pembekal

Melalui temubual bersama Mothership, Pengasas OK Chicken Rice, Daniel menyuarakan berkenaan isu bekalan ayam yang melanda Singapura ketika ini.

Menjual menu halal, gerainya bergantung 100 peratus terhadap bekalan ayam daripada Malaysia. Oleh kerana itu, semua kesemua sumber, SOP dan formula semasa yang diamalkan di syarikatnya dibangunkan berasaskan bekalan ayam dari Malaysia.

Contohnya, mereka mendapati bahawa saiz ayam sejuk beku yang ada dipasaran ketika ini adalah lebih kecil berbanding ayam segar yang diimport dari Malaysia.

Menurut Daniel, berat ayam sejuk beku adalah kira-kira 1.2kg, manakala ayam yang biasa digunakan sebelum ini mempunyai berat sekitar 2.3kg.

Bagi pihaknya, Daniel telah menyemak dengan pengimport untuk mengetahui sama ada kemungkinan terdapat beberapa eksport yang dibenarkan.

Mereka juga telah mencuba untuk melihat sama ada ayam sejuk beku boleh dijadikan sebagai pengganti yang sesuai, tetapi dia beranggapan bahawa kemungkinannya adalah sangat rendah. Dalam senario terburuk, mereka mempunyai rancangan kontingensi untuk menutup operasi mereka buat sementara waktu.

Sumber: Mothership

Nurul Nazihah