Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Mendapan Tanah, Kawasan Rendah Antara Punca Beberapa Kawasan Di Ibu Negara Dinaiki Air

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Mendapan tanah di dalam longkang dan kawasan lebih rendah daripada paras sungai adalah antara punca yang menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air ekoran hujan lebat lebih dua jam hari ini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Anwar Mohd Zain berkata antara lokasi rendah daripada paras sungai yang dinaiki air ialah kawasan sekitar Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu Tiga, Jalan Segambut danJalan Ampang, bagaimanapun air yang bertakung, surut dalam tempoh setengah jam.

“Terdapat juga mendapan tanah di tepi longkang daripada projek pembangunan berhampiran, yang menyebabkan aliran air perlahan dan tersekat iaitu di Jalan Dutamas Dua, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching.

“Bagaimanapun DBKL dengan bantuan Alam Flora berjaya membersihkan kawasan berkenaan selain turut segera menghantar 10 pam air di kawasan air bertakung, dan menambah beg pasir sebagai langkah sementara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya air yang bertakung dalam kejadian banjir kilat hari ini tidak menyebabkan kerosakan harta benda, malah tiada kesesakan trafik yang teruk dilaporkan.

Pada masa sama, Anwar turut menjelaskan video banjir kilat di Jalan Travers di sini yang tular di media sosial adalah kejadian lama, dan beliau seterusnya menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta menyemak sebarang maklumat terlebih dahulu daripada sumber yang sahih.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story