Siakap Keli
bahaya HFMD
Kredit: Borneo Today

Anak Dijangkiti HFMD, Ibu Bapa Kena ‘Alert’ 3 Tanda Bahaya Ini

Penyakit HFMD yang menjadi kerisauan ramai masyarakat di Malaysia telah dikupas secara terperinci oleh Dr. Vickneshwaran Muthu selaku Ketua Penolong Pengarah (Kanan), Sektor Kawalan Zoonosis, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan perkongsian beliau melalui live Siakap Keli pada hari ini, Dr. Vickneshwaran berkata, penyakit HFMD ini sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan virus COVID-19.

“HFMD tidak bersama dalam satu kumpulan dengan Covid. Covid adalah Coronavirus berbeza dengan HFMD yang tergolong dalam kumpulan Enterovirus,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah pencegahan perlu diambil maklum dan tindakan segera oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak mereka tidak dijangkiti oleh penyakit HFMD ini.

“Kita sebagai seorang ibu bapa, kita perlu tahu tanda-tanda bahaya pada anak-anak kita yang dijangkiti HFMD supaya kita boleh bertindak cepat membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Terdapat tiga tanda-tanda bahaya yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur terhadap perkembangan kesihatan anak-anak seperti alertness, behaviour dan orientation.

Justeru, ibu bapa perlu lebih peka dan ambil tahu sekiranya anak mereka tidak hirau akan persekitaran sekeliling dan berlakunya perubahan sikap seperti tidak aktif dan lesu sepanjang masa.

Beliau turut memberitahu apabila anak-anak sudah mempunyai sedikit selera untuk minum dan makan walaupun mulut masih penuh dengan ulser, ibu bapa boleh memberikan mereka makan makanan yang bersuhu sejuk.

“Jadi, satu tanda yang bagus adalah anak kita nak minum, nak makan tetapi disebabkan ada oral ulser kita boleh beri mereka makan aiskrim dan bagilah susu yang tidak panas sangat,” katanya.

“Air sejuk tidak akan menyebabkan demam,” tambah beliau lagi.

Dr. Vickneshwaran Muthu juga berkata, sekiranya anak demam ibu bapa boleh membuka baju anak mereka dan lap badan mereka menggunakan kain yang tidak terlalu basah.

“Kalau anak kita demam, janganlah kita bungkus mereka supaya mereka berpeluh. Kita boleh buka baju mereka dan gunakan kain yang tidak terlalu basah dan lap badan mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu, ibu bapa perlu memastikan faktor kebersihan anak mereka perlu sentiasa terjaga. Lebih-lebih lagi sekiranya terjadi terhadap bayi.

“Setiap kali tukar lampin, pastikan kita lap dengan bersih dan kemudian cucilah tangan kita juga sebersihnya,” kata beliau.

Hal ini kerana, Dr. Vickneshwaran telah menegaskan mencuci tangan selepas melakukan sesuatu merupakan perkara penting dan perlu sentiasa diingati kerana dengan tanganlah penyakit ini mudah merebak.

Bagi mengetahui lebih banyak lagi informasi yang dikongsikan oleh Dr. Vickneshwaran Muthu, ikuti page Facebook Siakap Keli untuk menonton video penuh perkongsian beliau.

Sumber: Facebook Siakap Keli

Nurlizah Khazani