Siakap Keli
bayi hidup semula
Gambar: Daily Star

Bayi Baru Ditanam Selepas ‘Disahkan’ Meninggal Dunia Hidup Semula

Seorang bayi perempuan di India yang baru saja dikebumikan selepas disahkan meninggal dunia akhirnya berjaya ‘hidup’ semula, lapor Daily Star. 

Menurut laporan, pada asalnya bayi perempuan tersebut telah selamat dilahirkan oleh ibunya di sebuah hospital daerah di Banihal baru-baru ini.

Bagaimanapun, dua kakitangan hospital yang bertugas di jabatan ginekologi ketika itu membuat kenyataan bahawa bayi berkenaan disahkan telah meninggal dunia.

Justeru, maklumat ‘disahkan meninggal dunia’ itu diterima dan bayi malang tersebut akhirnya ‘diuruskan’ dan ditanam di sebuah tanah perkuburan di Kampung Hollan.

Bagaimanapun, proses pengebumian bayi itu mengalami sedikit gangguan gara-gara terdapat satu tunjuk perasaan daripada penduduk di sana sedang berlaku.

Difahamkan, penunjuk perasaan tersebut membantah ‘mayat’ bayi itu ditanam di situ, sebaliknya mereka mendesak agar si kecil itu ditanam di tanah perkuburan yang lain.

Disebabkan itu, kubur bayi tersebut terpaksa digali semula oleh pihak keluarga dan ketika itulah, mereka tiba-tiba terdengar suara tangisan bayi dari dalam tanah.

Setelah diteliti, rupa-rupanya tangisan itu muncul dari mulut ‘mayat’ bayi tersebut dan sungguh mengejutkan, si kecil mereka itu sebenarnya masih hidup lagi.

Gambar: Daily Star

Ekoran kejadian memeranjatkan itu, keluarga tersebut terus membuat aduan kepada pihak hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Pegawai Perubatan Blok Banihal, Dr. Rabia Khan berkata, kedua-dua kakitangan yang cuai tersebut terpaksa dihentikan tugas sementara.

“Kami telah memutuskan bahawa seorang kakitangan jururawat junior dan seorang tukang sapu (cleaner) yang bekerja di jabatan ginekologi digantung kerja berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan,” tegasnya.

Sementara itu, ketua kampung, Manzoor Alyas Wani mendakwa, bayi berkenaan diisytiharkan meninggal dunia (pada asalnya) tanpa mendapat rawatan perubatan sewajarnya.

Jelasnya, bayi malang itu terus dikejarkan ke hospital serta-merta selepas mereka mendapati si kecil itu masih lagi bernyawa.

“Selepas menerima rawatan awal, bayi itu terus dibawa ke Srinagar bagi mendapatkan rawatan khusus oleh doktor,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penunjuk perasaan mendakwa, “Ini adalah kecuaian dan bukannya profesionalisme pihak doktor dan kakitangan lain di Hospital Bannihal,” katanya.

Gambar: Daily Star

Sumber: Daily Star

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?