Siakap Keli
Gambar via MetMalaysia

Gempa Bumi Kuat 7.2 Dilapor Gegar Peru Malam Ini

Peru – Satu gempa bumi kuat 7.2 magnitud dilaporkan telah menggegarkan tenggara Peru Pada Khamis, lapor AFP.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa yang terjadi pada 7.02 pagi waktu tempatan itu berlaku pada kedalaman 218 kilometer (135 batu).

Pusat Seismologi Kebangsaan Peru pula berkata gempa itu mempunyai magnitud 6.9 dan pada kedalaman 240 kilometer.

Pusat gempa tersebut adalah 20 kilometer timur laut dari bandar Azangaro, berhampiran dengan Tasik Titicaca di sempadan Bolivia.

Pihak berkuasa Peru berkata gempa itu menyebabkan gelombang kejutan dirasai di wilayah barat daya yang bersempadan dengan Chile.

“Berdasarkan tahap keamatan di permukaan, ia tidak akan ‘menjana’ kerosakan yang lebih teruk buat masa ini.

“Apabila gempa lebih dalam, gegaran bumi akan berkurangan,” kata penyelaras am di Pusat Operasi Kecemasan, Rolando Capucho.

Tambahnya lagi, mereka masih memantau keadaan dan sangat awal untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang kerosakan atau tidak.

Gempa itu dilaporkan dirasai di seluruh selatan, termasuk bandar kedua terbesar Peru, Arequipa.

Difahamkan, orang ramai meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan.

“Ia kuat, ramai orang keluar ke jalan raya,” kata seorang penduduk.

Bagaimanapun, pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa gempa itu tidak menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan.

Untuk pengetahuan, Peru yang terletak di Lingkaran Api Pasifik dilanda sekurang-kurangnya 400 gempa bumi setiap tahun.

Gempa dahsyat terakhir yang melanda Peru adalah pada Ogos 2007 apabila gegaran 7.9 magnitud berlaku di kawasan pantai tengah sehingga menyebabkan 595 orang terkorban.

Sumber: AFP

Sofea

There's always another side to every story