Siakap Keli
kawah mulut neraka
Gambar via Lad Bible

‘Kawah Mulut Ke Neraka’ Di Rusia Semakin Meluas, Ais Bawah Tanah Mencair Akibat Pemanasan Global

Sebuah kawah gergasi yang digelar ‘Kawah Mulut ke Neraka’ di Rusia dilaporkan telah ‘terbuka’ semakin meluas gara-gara ais di bawah tanah mencair akibat pemanasan global.

Meneroka artikel Lad Bible, panjang Kawah Batagaikan tersebut sekitar satu kilometer dan berkedalaman 86 meter sewaktu diukur ketika tahun 1980 yang lalu.

Menurut Mirror, punca permukaan kawah itu terbuka adalah disebabkan oleh tanah permafros yang mencair setelah dibekukan sejak Zaman Ais Kuarter pada 2.58 juta tahun yang lalu.

“Apabila kawasan hutan tersebut telah dibersihkan pada tahun 1960-an, cahaya matahari telah berjaya mencapai bahagian tanah dan menyebabkan bahagian lapisan dalam tanah menjadi panas.

“Jadi, ais yang berada di dalam tanah juga turut mencair hingga menyebabkan berlakunya pergerakan tanah serta menjadi padat dan surut.

“Oleh itu, akan berlaku lebih banyak ‘mulut ke neraka’ selepas ini akibat kesan daripada pemanasan global. Apabila Bumi terus-menerus alami pemanasan global, ais yang berada lebih dalam juga akan turut mencair,” lapor Mirror.

Difahamkan, penduduk di Batagay Yakutia, Rusia, percaya bahawa kawah gergasi yang terbuka luas itu merupakan laluan untuk ke dunia bawah tanah dan  mendakwa ia berkait dengan alam ghaib.

Gambar via Mirror
Gambar: VOL News via Mirror

Difahamkan, kawah yang terbuka itu telah mendedahkan lapisan tanah yang telah berusia 120,000 hingga 200,000 tahun dan juga terdapat lapisan tanah yang sudah berusia 650,000 tahun. Ini mungkin akan mendedahkan kawasan-kawasan tertua yang tenggelam di Eurasia.

Pergerakan tanah yang kurang stabil tidak boleh dihentikan dan ia akan terus terbuka sekitar 20 hingga 30 meter pada setiap tahun. Ruang permukaan yang terus terbuka mungkin akan ‘menelan’ semua yang ada di sekeliling hingga berlakunya mendapan.

Lebih membimbangkan, penduduk tempatan melaporkan ada bunyi ledakan yang menakutkan pernah didengari dipercayai datang dari kawasan tersebut.

Seorang saintis, Julian Murton telah melakukan kajian terhadap pembukaan tersebut dan mendapati hanya menemukan batu, tiada pintu masuk atau lalaun untuk menuju ke bahagian bahaw tanah seperti yang dilaporkan.

Selain itu, menurut Mirror, kaum Yakut yang tinggal di kawasan tersebut difahamkan berpegang kepada kepercayaan ghaib seperti dunia atau alam roh.

Budaya mereka berhubung dengan alam semula jadi dan bergantung kepada pemburuan, memasang perangkap dan menangkap ikan sebagai sumber makanan untuk meneruskan kehidupan.

Mengeksplorasi artikel Mirror lagi, kebanyakan mereka boleh ditemui di Rusia, namun terdapat juga populasi kecil di Kazakhstan, Ukraine dan Latvia.

Gambar: NASA via Lad Bible

Sumber: Mirror, Lad Bible

Faiz Mustafa