Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Segera Pergi Ke Hospital Terlebih Dahulu Jika Didera, Peguam Ini Jelaskan Sebabnya

Wanita yang mengalami keganasan rumah tangga dinasihatkan untuk segera pergi ke hospital terlebih dahulu jika didera atau dipukul oleh suami.

Menurut Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli, ia merupakan langkah penting yang perlu dilakukan bagi prosedur pembuktian Injunction Protection Order (IPO) dan Emergency Protection Order (EPO)

“Jika dipukul dengan teruk, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah pergi ke hospital terlebih dahulu, ia penting untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Selepas dapatkan rawatan kecemasan, segera pergi ke balai polis (pada hari sama) untuk membuat laporan.

“Dua langkah tersebut sudah memadai untuk mereka mendapatkan Injunction Protection Order.

“Namun, jika ada bukti yang lain, yang lebih membantu mahkamah untuk memberikan perintah injunksi ini contohnya seperti video atau rakaman suara, anda boleh kemukakannya.

“Injunksi ini adalah pembuktian atas kertas seperti gambar,” katanya.

Beliau juga berkata mangsa keganasan rumah tangga sepatutnya segera melaporkan penderaan yang dialami kepada pihak polis dan menjelaskan segala butiran.

“Walaupun hanya dipukul sedikit sahaja, laporkan kepada polis secara terperinci mengenai keadaan yang dialami,” katanya.

Beliau bercakap mengenai perkara tersebut dalam segmen siaran langsung di Siakap Keli berkaitan isu keganasan rumah tangga semalam.

Turut bersama dalam siaran langsung itu adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid yang turut bersama dalam siaran langsung itu mendedahkan bahawa ada kajian yang mendapati wanita di Malaysia mengambil masa minimum tujuh tahun untuk membuat laporan berkaitan dengan keganasan rumah tangga.

“Untuk makluman, tahun pertama perkahwinan kita sudah tahu sama ada pasangan kita seorang yang kasar atau tidak.

“Jadi ambillah tindakan yang sewajarnya sama ada untuk berpisah secara baik atau masih lagi boleh berkawan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya keganasan rumah tangga seperti pelaku yang panas baran, perselisihan faham dan penggunaan dadah.

Sumber: Siakap Keli

Sofea

There's always another side to every story