Siakap Keli
Kredit: Sinar Harian

Temui Bangkai Dan Najis Tikus, Kilang Pemprosesan Kopi & Teh Diarah Tutup

BUKIT MERTAJAM – Sebuah kilang pemprosesan kopi dan serbuk teh berhampiran Jalan India, diarah tutup serta-merta oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) selepas penemuan bangkai dan najis tikus dalam stor penyimpanan produk.

Kilang yang telah beroperasi lebih 50 tahun itu diarah tutup selama 14 hari setelah didapati gagal memastikan tahap kebersihan mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam Program Jaminan Kebersihan Makanan (PJKM).

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd Wazir Khalid berkata, bangkai tikus sebesar tapak tangan itu dipercayai telah mati lebih dari tiga hari bersama produk minuman yang siap dibungkus.

Menurutnya, selain masalah najis dan bangkai tikus, siasatan mendapati bahawa kilang tersebut menggunakan logo halal yang meragukan pada produk mereka.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan pemantauan, kilang tersebut tidak sepatutnya mendapat pengiktirafan untuk menggunakan logo halal terbabit.

“Kesalahan lain yang dikesan dalam serbuan ini ialah peralatan yang digunakan di kilang ini tidak mematuhi standard yang ditetapkan kerana ada sebahagiannya diperbuat daripada besi tahan karat dan ada juga daripada kayu sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd Wazir berkata, pemeriksaan juga mendapati lantai simen premis itu memiliki lopak dan ada takungan air.

Katanya, keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya percikan terhadap produk minuman di sini yang belum dibungkus dan seterusnya boleh menyebabkan pencemaran makanan.

Beliau berkata, serbuan terbabit dijalankan bersama beberapa orang pegawai pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Secara keseluruhan, sebanyak tiga kompaun bernilai RM5,000 telah dikeluarkan oleh BKKM terhadap pemilik premis tersebut atas kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid serta tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.

Sumber: Sinar Harian

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Nurfatihah Shahirah Azzuddin