Siakap Keli
Phunsukh Wangdu
Gambar: Youtube

Watak Phunsukh Wangdu ‘3 Idiots’ Sebenarnya Wujud, Lelaki Ini Bina Sekolah & Sistem Pendidikan Sendiri Untuk Murid ‘Gagal’ Di India

Filem-filem Bollywood pernah menjadi tumpuan hangat suatu ketika dahulu hingga menjadi fenomena termasuklah di Malaysia. Lebih-lebih lagi ‘mak-mak’ yang menonton hingga kering air mata akibat menangis.

Ketika itu, banyak filem Bollywood menjadi kegilaan ramai untuk ditonton bersama keluarga. Bahkan, filem-filem seperti ‘Kabhi Khushi Kabie Gham‘, ‘Kuch Kuch Hota Hai‘, ‘Mohabbatein‘ dan termasuklah ‘3 Idiots’ masih laku hingga ke hari ini.

Menyebut soal filem ‘3 Idiots‘ yang dibintangi pelakon filem Bollywood terkenal, Aamir Khan yang memegang watak Rancho dan juga Phunsukh Wangdu , tahukah anda ia sebenarnya wujud dalam dunia realiti?

Memetik fakta dari seorang Youtuber, Athwee Marma menerusi videonya, watak tersebut merupakan inspirasi daripada seorang individu bernama Sonam Wanchukh yang berasal dari Ladakh, India yang masih hidup hingga kini.

Difahamkan, kawasan tempat tinggalnya terletak sangat jauh dari bandar dan tidak mempunyai sekolah. Sonam juga didakwa tidak bersekolah sehingga di menjangkau usia sembilan tahun.

Masa terus berputar, tingkatan pelajaran yang dilewatinya sehingga dewasa membuatkan dirinya berjaya menjadi seorang jurutera. Namun jauh di sudut lain, dia sebenarnya kesal dengan sistem pembelajaran sedia ada.

Oleh itu, Sonam tekad membuka pusat pembelajarannya sendiri dengan memberi nama SECMOL (Student’s Educational and Cultural Movement of Ladakh) dengan mengetengahkan sistem asas pembelajaran secara praktikal.

Menariknya, hanya mereka yang ‘gagal’ di sekolah sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke SECMOL. Dalam erti kata lain, sekolah ini hanya khas untuk mereka yang tidak pandai dan pernah mengalami kegagalan di sekolah lama.

Sonam Wanchukh telah membawa perubahan ketara dalam sistem pendidikan menerusi sekolah tersebut. Difahamkan para pelajar di SECMOL tidak menguasai subjek mata pelajaran secara khusus, tetapi diajar semua perkara daripada pelbagai bidang.

Di sana, mereka belajar bagaimana mahu bina rumah sendiri, memproduksi makanan, berkebun, melukis, bemain, menyanyi, menari dan pengucapan awam. Lebih mengujakan, mereka juga mampu bina sistem tenaga solar sendiri, Ice Stupa dan banyak lagi.

Difahamkan juga, pentadbiran sekolah ini diuruskan oleh para pelajar sendiri dan pada setiap akhir tahun sesi persekolahan, mereka akan melancong ke daerah lain di India dan dalam masa sama, mereka akan belajar tentang geografi.

Akhir sekali, benarlah setiap manusia itu diciptakan berbeza-beza. Tidak semua anak-anak murid mampu untuk duduk di bangku dengan timbunan buku di atas meja. Oleh itu, para pendidik haruslah memainkan peranan penting dalam membentuk minat seorang pelajar.

Jika semua dipupuk untuk menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, akuantan dan sebagainya, siapa pula yang akan bercucuk tanam untuk menyediakan sumber asas makanan harian kita, kan?

Tanpa kita sedar bahawa rangkai kata ‘saling lengkap melengkapi’ bukan hanya untuk manusia yang menjalin cinta, tapi untuk kita semua. Tiada kayu ukur untuk membandingkan setiap kebolehan setiap manusia.

Akhir kata, berbaliklah pada filem 3 Idiots dan SECMOL ini sendiri. Tidak ada istilah pelajar gagal dan ketinggalan. Mereka bukannya tidak pandai, tapi sebaliknya perlukan sistem pendidikan yang memahami kebolehan mereka.

Sumber: Athwee Marma (YouTube)

Faiz Mustafa