Siakap Keli
gaya botak tengah
Gambar: The Thaiger

Guru Terima Kecaman Hebat, Potong Rambut 10 Pelajar Gaya ‘Botak Tengah’

Seorang guru dilaporkan telah memotong rambut 10 pelajar lelaki dengan gaya botak tengah, dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah di Thailand.

Memetik laporan The Thaiger, guru tersebut telah mendapat kecaman hebat oleh netizen selepas video yang memaparkan tindakannya itu tular di media sosial.

Difahamkan, video tersebut dirakam secara sembunyi oleh seorang pelajar yang turut berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pengarah sekolah berkata guru itu telah meminta maaf kepada 10 pelajar terbabit dan telah diberikan amaran untuk tidak melakukannya lagi.

Sementara itu, wartawan tempatan telah mendapatkan maklum balas Pesuruhjaya Pendidikan Wilayah Nakhon Ratchasima, Krittapol Chutikulkirati mengenai tingkah laku guru tersebut.

“Selepas dua tahun pembelajaran jarak jauh secara dalam talian, ramai pelajar di seluruh Thailand kembali ke sekolah dengan rambut panjang, yang bertentangan dengan peraturan Kementerian Pendidikan.

“Guru bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan kementerian, jadi mungkin disebabkan itu dia menghukum mereka seperti itu,” kata Krittapol.

Pun begitu, dia berkata tindakan guru itu tidak wajar dan mengarahkan semua guru sekolah rendah dan menengah di wilayah itu supaya tidak membotakkan rambut pelajar di bahagian tengah sebagai satu bentuk hukuman.

“Walaupun tindakannya itu tidak wajar namun guru tersebut tidak akan dipecat daripada jawatannya kerana ia bukan kesalahan disiplin yang serius,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Menengah wilayah itu diarah untuk melancarkan siasatan ke atas insiden tersebut kerana ia melanggar dasar pendidikan di wilayah tersebut.

Sumber: The Thaiger

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story