Siakap Keli
Darah pada lampin
Gambar via Mom.com

Darah Pada Lampin & Badan Berbulu, Ini 8 Tanda Normal Bayi Baru Lahir

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Umumnya, bayi yang baru lahir sememangnya mempunyai daya tahap imunisasi yang rendah dan mudah menerima ‘kehadiran’ virus serta penyakit. Oleh itu, ibu bapa, lebih-lebih lagi mereka yang baru sahaja menimang cahaya mata perlu memberi perhatian lebih dalam isu penjagaan anak.

Masalah kekuningan merupakan salah satu isu kesihatan yang kerap kali berlaku kepada bayi yang baru sahaja lahir dan beberapa lagi isu kesihatan lain yang sering terjadi. Mungkin ada yang beranggapan, masalah ‘bayi kuning’ hanyalah perkara biasa.

Namun, terdapat juga masalah normal bayi baru lahir yang dianggap serius oleh para ibu bapa di luar sana. Menerusi Hello Doktor, mereka kongsikan lapan tanda pada bayi yang baru lahir namun tidak menjejaskan kesihatan mereka.

Ikuti perkongsian yang telah kami sertakan di bawah, semoga sedikit sebanyak dapat menambah ilmu pengetahuan bersama.

Ibu Ayah Jangan Pelik Kalau Bayi Anda Mengalami 8 Tanda Ini, Tak Bahaya!

Apabila melihat keganjilan pada keadaan bayi baru lahir, sudah tentu ia akan terus menyebabkan mama papa jadi kelam kabut, betul tak?

Namun, ada beberapa perkara yang mungkin tampak aneh atau pelik tetapi sebenarnya normal pada si manja.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

8 keadaan bayi baru lahir yang normal

1. Bintik putih

Tompokan putih halus – atau dikenali dengan nama milia – keadaan bayi baru lahir yang sangat biasa untuk terjadi.

Biasanya akan muncul pada sekitar hidung dan mata.

Dianggarkan 50% bayi mempunyai milia pada wajah dan akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh 4 minggu pertama kehidupannya.

#2. Payudara bengkak, keadaan bayi yang normal

Masalah ini ada kaitan dengan perubahan hormon yang anda lalui semasa mengandung dahulu.

Pendedahan bayi kepada hormon anda ini mengakibatkan tisu payudaranya berkembang, kesannya menyebabkan payudara bayi membesar atau kelihatan seperti bengkak.

Jangan stres dan elakkan daripada memicitnya.

Ia biasanya tidak mendatangkan kebimbangan dan akan pulih seperti sedia kala selepas beberapa tempoh masa.

Cuba pantau keadaan bayi. Jika terdapat kemerahan sekitar payudara bayi, ambillah suhu badan mereka, untuk mengetahui sama ada ia disertai dengan demam atau tidak.

Simptom tersebut mungkin antara petanda masalah lebih serius. Lakukan pemeriksaan doktor untuk lebih kepastian!

#3. Darah pada lampin

Siapa yang tidak terkejut apabila melihat tompokan darah pada lampin bayi, betul tak?

Tetapi ia hanyalah bersifat sementara.

Untuk bayi perempuan, mereka mungkin mengalami beberapa kesan sampingan daripada hormon di dalam rahim. Situasi mini-haid adalah biasa kerana pengeluaran estrogen selepas dilahirkan.

Bagi bayi lelaki, ia mungkin disebabkan pergerakan usus yang kasar, sekali gus mengakibatkan calar atau luka pada dubur.

Bayi yang baru disunatkan juga mungkin akan mengalami sedikit pendarahan pada lampinnya.

Pendarahan juga boleh terjadi jika bayi mengalami ruam lampin.

Keadaan bayi baru lahir #4. Cradle Cap

Merupakan keadaan kulit yang menyebabkan tompok bersisik dan berkerak atau berminyak pada kepala si manja.

Turut dikenali sebagai Seborrheic Dermatitis, ia tidak menyakitkan atau menyebabkan kegatalan.

Tetapi tompokan berkerak berwarna putih atau kuning tebal agak sukar untuk ditanggalkan.

Ia berlaku kerana pengeluaran sebum yang berlebihan dan biasanya hilang dengan sendiri dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.

Paling penting, ibu jangan cuba mengopeknya!

Jika keadaan kulit semakin teruk, doktor mungkin akan mengesyorkan penggunaan syampu atau losyen berubat mahupun rawatan tertentu lain.

#5. Perdarahan subkonjunktiva, keadaan bayi normal

Pendarahan ini boleh terjadi pada mana-mana individu tanpa mengira usia.

Namun ia dianggap sebagai perkara biasa bagi bayi baru lahir untuk mengalami perdarahan subkonjunktiva ini.

Ini kerana prosedur bersalin sangat berkait rapat dengan tekanan dan trauma. Perubahan dan tekanan kuat semasa kelahiran boleh mengakibatkan saluran darah mata pecah.

Kesan kontraksi dan proses bersalin pada bayi disebabkan oleh tekanan memaksa peningkatan tekanan darah secara tiba-tiba, mendorong saluran darah pecah.

Berat lahir yang tinggi juga menjadi antara faktor penyumbang kepada keadaan bayi ini.

Kecederaan pada mata si manja juga boleh terjadi apabila penggunaan alatan tertentu seperti forceps atau vakum digunakan semasa kelahiran.

Tali pusat yang melilit leher bayi baru lahir juga boleh mengakibatkan perdarahan subkonjunktiva.

#6. Tompok Mongolia, keadaan bayi normal

Melihat tompok biru atau biru-kelabu pada kulit si manja mungkin menimbulkan kerisauan, terutamanya jika ia tidak hilang.

Tetapi tompokan seakan lebam ni adalah tanda lahir yang dikenali sebagai congenital dermal melanocytosis atau lebih dikenali sebagai tompok Mongolia.

Ia biasanya muncul pada sekitar belakang badan, punggung atau bahu bayi.

#7. Gelembung pada bibir

Perasan tak gelembung pada bibir bayi? Seakan lepuh tetapi ia adalah normal dan akan hilang dengan sendirinya.

Ia boleh muncul pada bibir atas dan bawah bayi. Gelembung ini akan lebih jelas apabila bayi membuka mulutnya.

Biasanya muncul pada hari-hari pertama selepas dilahirkan, terutamanya jika bayi menghisap susu setiap 3 jam atau lebih.

Keadaan bayi baru lahir #8. Badan berbulu

Kehadiran bulu halus – lanugo – adalah untuk mengekalkan suhu badan bayi dalam rahim sebelum kehadiran lemak tubuh.

Lanugo biasanya gugur pada minggu-minggu terakhir kehamilan.

Tetapi anda mungkin dapat melihat saki bakinya pada belakang badan, lengan dan mungkin telinga si manja.

Jangan bimbang, lama-kelamaan ia akan gugur dengan sendirinya.

Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan mengenai keadaan dan perkembangan bayi selepas lahir, lakukan pemeriksaan doktor untuk lebih kepastian, okay?

Sumber: Hello Doktor

Faiz Mustafa