Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti mendakwa bahawa Liverpool adalah pasukan yang lebih mudah ditentang kerana mempunyai corak strategi yang senang dibaca, lapor portal Sport Bible.
Dalam perlawanan peringkat akhir Liga Juara-Juara yang berlangsung di Stade de France di Saint-Denis baru-baru ini, Real Madrid telah berjaya menumpaskan Liverpool dengan kemenangan 1-0.
Memetik laporan Metro UK, Ancelotti mendakwa bahawa Liverpool adalah lawan yang mudah untuk ‘diteka’ kerana mereka kebiasaannya menggunakan formasi 4-3-3, barisan pertahanan tinggi dan permainan menekan tanpa henti.
“Jika dapat diimbas kembali, ramai orang berkata bahawa pasukan Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea dan Manchester United hanya kurang bernasib baik, ini kerana pasukan-pasukan ini mungkin dapat memberikan keseimbangan yang lebih kurang sama pada pasukan kami.
“Saya rasa itu membolehkan Liverpool dapat ‘ditafsir’ dengan lebih mudah berbanding yang lain kerana mereka mempunyai identiti yang sangat jelas.
“Kami tahu strategi apa yang perlu dilakukan, jangan beri mereka ruang di belakang pertahanan untuk diserang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sementara itu, bekas penyerang Liverpool, Michael Owen merasakan bahawa walaupun pasukan Real Madrid menang, The Reds masih layak untuk dianggap sebagai pasukan terbaik di Eropah.
Namun kenyataannya itu disangkal pula oleh bekas rakan sepasukan antarabangsanya, Rio Ferdinand.
“Saya tidak rasa mereka adalah pasukan terbaik, mereka perlu memenangi trofi besar dahulu untuk dianggap sebegitu,
“Mereka telah bertanding dalam setiap perlawanan yang tersedia tetapi untuk dipanggil sebagai pasukan yang terbaik di Eropah, mereka perlu mendapatkan trofi terlebih dahulu,” kata Ferdinand.
Sumber: Metro UK