Siakap Keli
sikap macho
Kredit: Rumah2022

Kaum Lelaki Perlu ‘Alert’, Ini 5 Sebab Kenapa Sikap Macho Mampu Undang Padah

Anda sering control macho depan wanita? Tahukah anda bahawa sikap macho ini boleh membawa padah kepada diri anda? Nak tahu kenapa? Ikuti artikel ini.

Lelaki sering kali dinilaikan sebagai golongan yang kuat, tidak mudah gentar dan tidak mudah mengalah oleh kaum wanita.

Namun, perlu kita ketahui, lelaki juga manusia yang diciptakan dengan mempunyai perasaan. Oleh itu, kaum lelaki juga kadang kala pastinya pernah berasa gugup, sedih, dan kecewa.

Persepsi sebegitu membuatkan lelaki berasa serba sedikit terbeban kerana perlu mencapai segala expectation kaum wanita sekaligus mencuba sehabis baik untuk kekal maskulin sepanjang masa.

Namun, perlu disedari bahawa, hidup berpaksikan jangkaan orang mampu membawa padah kepada diri sendiri.

Apa yang mungkin kita tidak ketahui adalah, sikap macho yang sering dianggap ideal itu boleh mempengaruhi tahap kesihatan lelaki ke arah yang negatif.

Ikuti portal Hello Doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai padah sikap macho ini kepada diri.

#1 Lelaki macho boleh minum alkohol tanpa mabuk

Bergantung kepada kekerapan pengambilan alkohol, seseorang itu mudah mabuk jika mereka tidak biasa atau hanya mengambil alkohol sekali-sekala.

Apabila kekerapan pengambilannya meningkat, kebolehan seseorang itu untuk tahan mabuk juga meningkat.

Keadaan ini boleh menyumbang kepada masalah kesihatan. Lebih teruk lagi, kriteria minum alkohol tanpa mudah mabuk turut menjadi ciri untuk menjadi lelaki macho.

Tanggapan sebeginilah yang menyebabkan lelaki mempunyai risiko 4 kali ganda untuk mengambil minuman beralkohol berlebihan (binge drinking) dalam masa setahun.

Keadaan tersebut boleh menyumbang kepada masalah jantung, kegagalan hati dan isu berkaitan dengan kesihatan mental.

#2 Memecut di highway, barulah lelaki namanya!

Kita selalu meletakkan tanggapan negatif terhadap pemandu wanita. Mereka pandu lambat, tidak cekap dan mudah sesat berbanding lelaki.

Apa yang anda mungkin tidak tahu adalah, kecenderungan untuk pandu laju dalam kalangan lelaki boleh mengundang padah terutamanya jika mereka memandu semasa mabuk.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC), lelaki adalah 50 peratus lebih cenderung untuk didapati mabuk dalam kemalangan jalan raya.

Apa yang lebih jelas lagi adalah, pada tahun 2018, menurut statistik yang dibentangkan oleh Insurance Institute for Highway Safety (IIHS), 71 peratus kemalangan (keseluruhan kenderaan) melibatkan lelaki.

Dari perspektif logik, mudah sahaja. Anda lebih macho jika anda hidup, maka elakkan memandu mabuk dan patuhi undang-undang jalan raya.

#3 Kaum Adam mana boleh mudah sakit

Kajian yang dijalankan di Wisconsin berkaitan dengan fenomena lelaki macho adalah, mereka yang mempunyai tanggapan salah dengan konsep maskulin lebih susah untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.

Perkara ini boleh memberikan impak negatif terhadap jangka hayat lelaki serta mempengaruhi risiko kematian terhadap sesuatu penyakit.

Bagi penyakit tertentu, jika ia tidak dikesan pada peringkat awal, ia boleh mengubah kualiti hidup seseorang. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kematian.

Untuk memastikan tahap kesihatan lelaki berada pada paras optimum, apabila usia sudah mencecah 40 tahun, mereka disarankan untuk membuat:

  1. Pemeriksaan fizikal sekali setahun.
  2. Pemeriksaan gigi 2 kali setahun.
  3. Pemeriksaan kulit sekali setahun.

#4 Lelaki sebenar tidak mudah goyah dalam apa jua situasi

Lelaki tidak boleh mudah berasa sakit. Jika sakit sekalipun, haruslah digigit sendiri, tidak kiralah seteruk mana. Demikianlah konsep lelaki macho yang sering digambarkan.

Keadaan ini tidak spesifik kepada sakit fizikal semata-mata. Mereka yang bergelut dengan kesakitan emosi turut mengalami masalah yang sama.

Jika teruk, ia boleh mengundang masalah mental seperti kemurungan, keresahan dan sebagainya.

Lelaki yang tidak suka bergantung kepada orang lain lebih cenderung untuk merahsiakan masalah mereka.

Akibatnya, tiada siapa boleh membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah.

#5 Sayur bukan makanan kami, hanya daging dan sumber protein

Bila kita berbicara mengenai salad, pasti anda terbayang akan kaum Hawa memegang semangkuk sayur.

Diet lelaki macho pula lebih kepada daging, ubi kentang dan makanan berlemak.

Kajian sains menunjukkan secara puratanya, kaum Hawa hidup 5 hingga 10 tahun lebih lama berbanding dengan lelaki.

Walaupun perkara sebegini sukar untuk dikaji, kebanyakan saintis bersetuju bahawa pemakanan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kecelaruan tersebut.

Mudah sahaja, makanan berlemak dan mengandungi kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan saluran arteri tersumbat.

Perkara ini boleh menyebabkan tercetusnya masalah kesihatan seperti serangan jantung dan strok.

Tambahan pula, kadar pengambilan sayur yang sedikit menyebabkan risiko kanser lelaki akan meningkat.

Konklusi

Bukan semua tingkah laku lelaki macho wajar dicontohi.

Semua yang tersenarai di atas boleh mempengaruhi kualiti hidup anda sehingga ada yang boleh meningkatkan risiko kematian pun!

Kesimpulannya, adalah lebih macho jika anda mengamalkan gaya hidup sihat dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Jika anda berada dalam usia yang digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, laksanakannya mengikut nasihat pakar.

Sumber: Hello Doktor

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.