Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah menjalankan sebarang pengambilan pekerja melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan tidak menjalankan sebarang skim pelaburan secara langsung dengan orang ramai.
Perkara itu dinyatakan susulan daripada penipuan melalui SMS dan Telegram yang menyamar sebagai pegawai syarikat itu.
Menerusi kenyataan di Facebook, MDEC berkata pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada orang awam malahan turut mempromosikan skim pelaburan yang tidak sah.
“Kami masih dimaklumkan terdapat sistem pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan kerja kosong kepada orang awam dan juga kumpulan Telegram yang menyamar sebagai MDEC.
“MDEC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk menerajui pembangunan ekosistem digital di Malaysia melalui polisi, pelaburan dan inisiatif pembangunan industri, program dan juga projek yang berkaitan,” kata MDEC.
Tambah MDEC lagi, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati terhadap kumpulan tersebut sama ada di SMS, WhatsApp, Telegram dan aplikasi khidmat pesanan lain yang mengguna pakai nama MDEC.
Terdahulu, Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police juga telah menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan menerusi SMS berkaitan pembayaran dalam aplikasi beli-belah.