Ikan di pantai Florida telah disahkan positif mengandungi beberapa jenis kandungan ubat-ubatan yang berpunca daripada air kumbahan manusia mengalir ke laut, lapor Daily Mail.
Penyelidik di Florida International University dan Bonefish and Tarpon Trust telah mengesahkan perkara itu selepas melakukan kajian terhadap ikan bonefish dan tarpon yang ditemui di Biscayne Bay dan Florida Keys sejak 2018.
Mereka mengumpul tisu dan sampel darah daripada 93 ekor ikan bonefish dan tarpon di kawasan itu. Hasil daripada itu, mereka mendapati bahawa setiap daripadanya mempunyai purata tujuh jenis ubat dalam tisunya termasuk ubat antidepresen, ubat tekanan darah, ubat prostat, antibiotik dan ubat tahan sakit.
Kajian tersebut mendapati, terdapat 17 jenis ubat dikesan yang dikesan di tisu seekor ikan. Selain daripada ikan, penyelidik juga dilaporkan menemui partikel ubat di dalam ketam serta udang.
Ubat-ubatan yang ditemui ini boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan ikan, termasuk tabiat pemakanan, sosial dan tingkah laku migrasi.
Selain itu, perkara ini juga turut dilihat boleh mengancam populasi ikan bonefish yang kian berkurangan di kawasan itu.
“Penemuan ini benar-benar membimbangkan,” kata Jennifer Rehaga, ahli ekologi pantai dan ikan serta profesor di universiti tempatan.
‘Farmaseutikal adalah ancaman yang tidak kelihatan, tidak seperti bunga alga atau air keruh,’ jelasnya.
‘Namun keputusan ini menyedarkan kami bahawa ia adalah ancaman yang menggerunkan kepada sistem perikanan, dan menyerlahkan keperluan mendesak untuk menangani isu infrastruktur air sisa yang berlarutan.’
Sumber: Daily Mail