Arab Saudi merancang untuk bina menara berkembar tertinggi dan terbesar di dunia di kawasan tidak berpenghuni di negara itu yang digelar sebagai Neom, lapor SCMP.
Memetik SCMP, Neom merupakan cetusan idea dari Putera Mahkota Saudi dan pemerintah de facto, Mohammed bin Salman yang merancang untuk membina bangunan pencakar langit berkembar berketinggian kira-kira 500 meter (1,640 kaki).
Berdasarkan ketinggian tersebut, menara berkembar baharu itu dijangka akan dibina lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Malaysia yang hanya berketinggian kira-kira 452 meter.
Difahamkan, bangunan pencakar langit berkembar itu turut dibina dengan rekaan secara terbentang dan mendatar dengan jarak berpuluh kilometer.
Bangunan pencakar langit itu difahamkan akan menempatkan kediaman, kedai-kedai komersial serta pejabat yang dibina dari pesisir pantai Laut Merah hingga ke padang pasir.
Pelan itu merupakan anjakan daripada konsep yang diumumkan tahun lepas untuk membina pembangunan yang menghubungkan kereta api laju bawah tanah kepada struktur memanjang.
Prototaip mula dijalankan
Difahamkan, arkitek telah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja prototaip bangunan sepanjang setengah batu setakat ini.
Jika hal ini diteruskan, setiap struktur bangunan akan jadi lebih besar daripada bangunan-bangunan besar terkemuka lain yang kebanyakannya adalah kilang atau pusat membeli belah dan bukannya komuniti tempat tinggal.
Diumumkan pada 2017, Neom ialah perancangan Putera Mohammed untuk menjadikan kawasan terpencil di negara itu menjadi kawasan separa autonomi berteknologi tinggi serta gaya hidup di bandar.
Ia adalah sebahagian daripada rancangannya untuk menarik pelaburan asing, dalam masa sama membantu mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dan tidak hanya bergantung kepada penjualan minyak semata-mata.
The Line, merupakan sebuah bandar bebas dari kereta yang akan menjadi tulang belakang Neom akan menelan kos sebanyak RM876.6 bilion untuk merealisasikan projek tersebut, menurut putera raja itu pada tahun lepas.
“The Line merupakan idea di luar kotak. Apa yang akan dipersembahkan nanti apabila sudah bersedia dan diterima baik, ia akan dilihat sebagai satu ‘revolusioner’,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Neom, Nadhmi Al-Nasr dalam satu temu bual.
Uniknya, bangunan ini akan berubah ketinggiannya mengikut kedudukan di mana anda berada. Ia disesuaikan oleh landskap dengan saiz terakhirnya akan ditentukan oleh kejuruteraan dan permukaan bumi, kata Al-Nasr, lapor SCMP.
Masalah utama dihadapi untuk bina Neom
Kawasan Timur Tengah telah pun menjadi ‘tuan rumah’ kepada bangunan tetrtinggi di dunia, Burj Khalifa di Dubai. Sebelum kebangkitan Putera Mohammed Putera Saudi Alwaleed bin Talal, mereka telah merancang membina bangunan tertinggi di Jeddah, namun bangunan tersebut hanya terbengkalai sahaja.
Sebahagian keuntungan jualan minyak yang tinggi mungkin akan digunakan untuk membina Neom. Pegawai kerajaan berkata, ia akan menjadi dana pelaburan awam yang diuruskan oleh Putera Mohammed dan pemilik Neom.
Namun masalah utama untuk merealisasikannya bukanlah soal dana, sebaliknya keberhasilan projek tersebut selepas beberapa projek mega lain yang tujuannya sama (sebelum ini) gagal.
Menurut SCMP, Public Investment Fund (PIF) sedang cuba menjadikan pejabat kluster yang kebanyakannya telah siap di Utara Riyadh yang menelan kos berbilion-bilion dan diiktiraf di bawah pemerintah terdahulu menjadi pusat kewangan.
“Apabila orang bercakap soal The Line, mereka melihat Hyperloop futuristik, jenis entiti dalam Star Wars.
“Namun, apabila The Line dibentangkan kepada lembaga pengarah, saya melihat sebuah bandar moden mampan yang sangat pintar yang akan menampung penduduk dari golongan buruh hinggalah golongan jutawan yang akan dibina secara berperingkat,” kata Ali Shihabi, ahli Lembaga Penasihat Neom.
Sumber: SCMP