Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak yang menuduhnya menipu tentang penyakit kanser yang dialaminya.
Memetik Utusan, Elyana mendedahkan bahawa ada dalam kalangan sahabat karibnya juga menyebarkan dakwaan yang tidak berasas itu.
Namun, penyanyi tanah air ini tetap profesional dan tidak mengambil pusing serta menganggap mereka sebenarnya tidak memahami penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
Kata penyanyi itu, pada awalnya beliau memang rasa kecewa kerana penyakit kansernya sudah lebih 10 tahun ‘menjarah’ tubuh badannya.
“Memang banyak sangat dengar, ada juga kalangan rakan baik yang cakap seperti itu.
“Walaupun dia tahu kita ulang-alik ke hospital, anak kita sanggup tak sekolah kerana tiada siapa yang dapat hantar. Mereka tahu semua ini.
“Tetapi saya menganggap orang seperti ini, dia tidak membantu semasa saya sakit. Jadi, mereka ini memang tidak tahu kepayahan saya macam mana,” ujarnya kepada pemberita.
Mengulas lanjut tentang isu ini, Elyana memberitahu dirinya sudah memaafkan semua pihak terutamanya warganet yang pernah melontarkan fitnah terhadapnya sebelum ini.
“Mereka cakap saya ini tidak sakit dan bercakap buruk mengenai saya. Mereka ini sendiri meminta maaf menerusi pesanan langsung (DM). Alhamdulillah, semua sedar apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Saya maafkan,” jelasnya.
Elyana juga menitipkan pesanan untuk orang ramai agar sentiasa menjaga pertuturan dan berfikir dahulu sebelm melontarkan sebarang kata-kata terhadap seseorang.
Ujarnya lagi, beliau menafikan tentang penipuan tersebut, sekali gus menjelaskan bahawa setiap kata itu adalah doa.
“Saya percaya akan kifarah, apabila kita bercakap buruk tentang seseorang, Allah nak balas kepada kita itu sekelip mata sahaja. Kita kena jaga kata-kata dan pemikiran,” jelasnya.
Terkini, Elyana memaklumkan bahawa beliau masih mempunyai empat kali rawatan kemoterapi yang perlu dilakukan setiap dua minggu sekali.
Pada Disember lalu, pelakon filem Dunia Baru ini berkongsi khabar gembira selepas penyakit yang dialaminya selama 11 tahun telah hilang.
Terdahulu, beliau pernah memaklumkan kanser limfoma itu menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.
Selebriti ini membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap 4 yang dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat ketika 2017 lalu.
Sumber: Utusan