Siakap Keli
nelayan tercekik ikan puyu
Sumber: Mirror

Nelayan Hampir Maut Tercekik Ikan Puyu, Tiba-tiba Lompat Keluar Dari Air Masuk Ke Mulut

Seorang nelayan hampir maut kerana tercekik seekor ikan puyu yang melompat keluar dari air dan terus masuk ke mulutnya dalam satu kejadian di Thailand baru-baru ini, lapor Mirror.

Menurut Mirror, mangsa yang cemas terus bergegas ke Hospital Wilayah Patthalung untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada pihak perubatan.

Difahamkan, ketika di sana, doktor seakan terpinga-pinga apabila nelayan itu memberitahu seekor ikan puyu melompat masuk ke dalam mulutnya sebelum itu.

Justeru, satu tindakan kecemasan dijalankan oleh pasukan perubatan yang terdiri daripada dua doktor dengan bantuan tiga lagi jururawat.

Sehubungan itu, menerusi imbasan X-ray, mereka mengesahkan bahawa memang terdapat seekor ikan puyu bersirip tajam sepanjang lima inci tersekat di kerongkong mangsa.

Pembedahan kecil menyelamatkan mangsa berlangsung dan selepas satu jam, akhirnya ikan puyu tersebut berjaya dikeluarkan bersama darah yang banyak.

Difahamkan, ikan puyu tersebut berjaya ditarik keluar kerana ia cuba memuncungkan kepalanya ke arah luar melalui kerongkong mangsa.

Bagaimanapun, tekak mangsa dilapor mengalami kecederaan parah dan kerosakan kronik akibat ‘terhiris’ dengan ketajaman sirip keras yang ada pada ikan tersebut.

Sementara itu, pegawai hospital berkenaan, Sermsri Pathompanichrat berkata, pihaknya berjaya melakukan tindakan kecemasan menyelamatkan mangsa terbabit.

“Doktor dan pasukan perubatan kami bekerja keras untuk meminimumkan kerosakan pada organ pesakit kami.

“Mereka telah berjaya menyelamatkan pesakit tersebut,” katanya, memetik Mirror.

Imbas kembali, menurut pendedahan mangsa, segalanya bermula ketika dia datang ke satu lokasi untuk memancing ikan menggunakan tempuling.

Katanya, dia mahu menghirup udara dan bernafas seperti biasa dan ketika itulah, ikan puyu tersebut tiba-tiba melompat keluar dari air dan terus masuk ke dalam mulut serta kerongkongnya.

Malangnya, ikan itu tersangkut terus dan cuba keluar semula dari rongga hidung mangsa namun gagal.

Ketika itu orang ramai di sekeliling melihat mangsa tercungap-cungap sambil memegang kerongkongnya sebelum dia dikejarkan ke hospital untuk tindakan kecemasan.

Sumber: Mirror

 

Nurul Nazihah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.