Jakarta- Seorang lelaki di Jayapura Selatan, Wilayah Papua didakwa telah membunuh teman lelaki kepada isterinya menggunakan batu gara-gara cemburu.
Menurut polis, suspek yang berusia 33 tahun itu telah menyerah diri kepada pihak berkuasa sejurus selepas mayat mangsa ditemui.
Kejadian itu berlaku ketika suspek sedang keluar mencari isterinya yang dikatakan melarikan diri dari rumah mereka, kata Ketua Polis Jayapura Kota, Victor Dean.
Lanjutan daripada itu, suspek dilaporkan telah pergi ke rumah mangsa untuk mencari isterinya, namun tidak menemui wanita tersebut.
Ketika kedua-dua mereka keluar bersama-sama untuk mencari wanita itu, suspek telah bertindak membunuh mangsa dengan menggunakan batu.
“Mangsa telah beberapa kali keluar bersama isteri suspek. Disebabkan berasa sakit hati, suspek bertindak membunuh mangsa,” kata Victor.
Pihak polis kini dilaporkan masih lagi sedang giat menyiasat sama ada pembunuhan tersebut dirancang oleh suspek atau pun tidak.
Dia kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Jayapura Kota jika disabitkan dengan kesalahan, suspek akan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Sumber: Kosmo