KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Impian pemain naturalisasi Liridon Krasniqi untik beraksi pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 berkecai selepas gagal berada dalam senarai 23 pemain skuad Harimau Malaya bagi saingan itu di sini minggu depan.
Bagaimanapun, dua lagi pemain naturalisasi Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh boleh menarik nafas lega selepas masih diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Kim Pan Gon untuk beraksi dalam pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Selain Liridon, turut diketepikan adalah penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Norshahrul Idlan Talaha dan Syahmi Safari.
“Syahmi terdahulu telah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan,” menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Sehubungan itu, FAM mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah diberikan para pemain terlibat di sepanjang kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu.
Menurut FAM lagi, pemain yang tidak terpilih tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan.
Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E bagi pusingan akhir kelayakan itu akan memulakan kempen menentang Turkmenistan pada Rabu ini diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).
Berikut merupakan senarai akhir 23 pemain yang dipilih untuk membawa cabaran skuad Harimau Malaya pada tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023:
Sumber: Bernama