Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengesahkan bahawa kerajaan Turki secara rasminya menukar nama negara mereka kepada Türkiye selaras dalam semua bahasa.
Menurut laporan The Guardian, pertukaran nama negara tersebut dibuat oleh Kerajaan Turki ekoran mahu memperkukuhkan lagi jenama (branding) mereka di pentas global.
Malah ia juga bertujuan bagi membezakan nama negara itu dengan perkataan ‘ayam Belanda’ yang disebut ‘turkey‘ dalam Bahasa Inggeris, selain beberapa konotasi negatif lain yang berkaitan.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, surat rasmi Turki untuk memohon pertukaran nama tersebut telah diterima pihaknya di ibu pejabat PBB di New York pada Rabu baru-baru ini.
Imbas kembali, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Disember lalu membuat tindakan sedemikian dengan perjanjian bersama PBB selepas berbulan-bulan membuat persiapan mengenainya.
Ketika itu, beliau mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa kerajaan Turki akan menggunakan “Türkiye” dalam semua bentuk urusan dan surat-menyurat secara rasmi.
Difahamkan, walaupun kedua-dua istilah itu mempunyai cara sebutan yang sama dan bunyi yang hampir serupa, namun Türkiye menampilkan suku kata ketiga yang disebut seperti “yay.”
Lanjutan daripada itu, semua produk yang dieksport dari negara tersebut kini bakal diiklankan dengan menggunakan pelekat yang tertera “Made in Türkiye“.
Manakala pada Januari, kempen pelancongan yang dilaksanakan di sana pula telah dilancarkan oleh kerajaan dengan pengunaan ayat “Hello Türkiye“.
Dalam pada itu, istilah ‘Türkiye’ juga ditetapkan bagi menggantikan variasi perkataan yang digunakan di negara-negara lain seperti Türkei di Jerman dan Turquie di Perancis.
Walaupun kebanyakan rakyat di negara berkenaan masih lagi menyebutnya sebagai ‘Turki’, tetapi sebutan pilihan Erdogan itu adalah istilah rasmi dalam bahasa Turki.
Ia digunakan sejak pengisytiharan Republik Turki atau Türkiye Cumhuriyeti pada tahun 1923, selepas berakhirnya Perang Dunia I semasa kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.
Untuk rekod, Türkiye merupakan negara keempat yang menukar namanya secara rasmi dalam tempoh empat tahun yang lalu, sekaligus menjadikan langkah itu bukan sesuatu yang luar biasa.
Terdahulu pada 2020, Netherlands menggugurkan Holland di bawah langkah sama, selain Macedonia menukarkan namanya kepada Macedonia Utara susulan pertikaian politik bersama Greece.
Sumber: The Jerusalem Post / The Guardian