Berang isteri mohon cerai daripadanya, seorang lelaki bertindak nekad menjerut leher isterinya menggunakan seutas tali, lapor portal Divisi Humas Polri.
Menurut Ketua Polis Sukabumi AKBP Dedy Darmawansyah, melalui Ketua Polis Daerah Jampang Tengah AKP Usep Nurdin dalam keterangan rasminya pada Jumaat lalu, kejadian itu berlaku di rumah mangsa di Kampung Cigombong, Bojongjengkol, Daerah Jampang Tengah di Bandar Sukabumi pada 1 Mei 2022 lalu sekitar jam 9.30 pagi.
“Ketika kejadian itu, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa, tiba-tiba suspek menutup pintu rumah dan menguncinya sambil mengambil seutas tali dan kemudiannya menghampiri mangsa serta cuba menjerut leher mangsa dengan tali tersebut,” kata Usep Nurdin kepada pasukan Perhubungan Awam Polis Sukabumi.
“Mangsa ketika itu cuba menahan tindakan daripada suspek dengan menggunakan kedua-dua belah tangan, namun suspek mengheret mangsa ke tengah rumah dan kemudian suspek menghentikan perbuatannya dengan berpura-pura tidak sedarkan diri seperti dirasuk supaya mangsa beranggapan bahawa suspek bertindak sedemikian kerana tidak sedarkan diri,” katanya.
Akibat perbuatan suspek, mangsa yang merupakan isteri sah kepada suspek mengalami kesan lebam di kelopak mata kiri dan kanan serta lebam di bahagian lutut kiri.
Usep Nurdin berkata selepas menerima laporan aduan dari mangsa, pihaknya segera melakukan pencarian terhadap suspek yang melarikan diri ke Bandaraya Tasikmalaya.
“Pada hari Rabu, 1 Jun 2022, Pasukan Siasatan Jenayah Polis Jampang telah menerima maklumat bahawa pelaku berada di sebuah hotel di kawasan Bandaraya Tasikmalaya,” kata Usep Nurdin.
Tambah Usep Nurdin, maklumat tersebut ternyata betul dan pasukannya telah berjaya menangkap suspek di sebuah hotel di Bandaraya Tasikmalaya dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Jampang Tengah.
Jelas Usep Nurdin, motif suspek adalah untuk mendera mangsa yang juga isterinya kerana tidak menerima permintaan mangsa untuk diceraikan.
Sementara itu, mangsa berkata, dia meminta cerai daripada suaminya, kerana tidak tahan dengan perangai suspek yang cemburu buta terhadapnya.
Sumber: humas.polri.go.id
Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’