GEORGE TOWN, 5 Jun (Bernama) — Seorang pelajar Royal College of Surgeons in Ireland & University College Dublin (UCD) kampus Malaysia (RUMC) yang berasal dari Pulau Pinang muncul sebagai pelajar terbaik RUMC bagi tahun 2022.
Lebih manis, Por Chia Yin pelajar ijazah perubatan RUMC turut meraih Anugerah RUMC tempat pertama dalam Pembedahan, Psikiatri, Perubatan Keluarga dan perubatan Forensik serta Undang-undang Perubatan.
Por, 24, yang juga dipilih sebagai penyampai ucapan perpisahan pada tahun ini berkata pada mulanya dia berasa kecewa untuk mengikuti pelajaran dan menghadiri kelas secara dalam talian sejak dua tahun lepas akibat wabak COVID-19.
“Sukar untuk berinteraksi melalui skrin dan bercakap melalui mikrofon tetapi atas sokongan para pensyarah saya menjadi terbiasa dengan keadaan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan RUMC ke-22 di sini hari ini.
Por berkata ia adalah satu penghormatan untuk dipilih sebagai penyampai ucapan perpisahan dan berjaya meraih anugerah itu, tetapi beliau mahu lebih terus mencapai kejayaan.
“Untuk menjadi seorang doktor yang baik perlukan lebih daripada itu…ia bukan sekadar berapa banyak wang yang akan kita peroleh sebaliknya, perkara yang lebih penting adalah keupayaan kita sebagai doktor yang akan memberi impak terhadap nyawa dan kehidupan pesakit,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pendaftar RUMC Prof David Whitford berkata sejak dua tahun lepas mereka mengadakan majlis konvokesyen secara maya dan hari ini seramai 92 doktor dari kelas perubatan 2022 mengangkat sumpah dan menerima ijazah perubatan National University of Ireland.
“Kali ini, kami juga menjemput pelajar yang bergraduasi pada 2020 dan 2021 secara maya agar menyertai majlis penganugerahan ini kerana konvokesyen adalah acara utama dalam kehidupan dan ia seharusnya diraikan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan secara fizikal,” katanya.
Terdahulu, Duta Besar Ireland ke Malaysia Hilary Reilly merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri Dekan RUMC Prof Premnath Nagalingam.
Sumber: Bernama