Di Malaysia terdapat pelbagai jenis hutan yang tercipta meliputi beberapa sebahagian besar kawasan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Ia sangat penting kerana fungsinya sebagai ‘pembekal’ oksigen buat semua hidupan.
Secara umumnya, di dalam hutan belantara, segala flora dan fauna saling bergantung antara satu sama lain. Ini terbukti dengan rantaian makanan yang bermula dari sekecil benih yang tertanam di tanah.
Selain itu, hutan berfungsi menyerap gas karbon dioksida yang dilepaskan ke ruang udara dan membebaskan oksigen untuk segala makhluk hidupan bernafas.
Namun, masih ramai yang tidak sedar akan kepentingan hutan, malah tidak mustahil mungkin ada yang tidak mengetahui jenis-jenis hutan yang terdapat di negara kita.
Untuk itu, mari sama-sama kita ikuti perkongsian yang menarik oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di bawah tentang jenis-jenis hutan yang terdapat di Malaysia. Semoga bermanfaat.
Jenis-jenis hutan yang terdapat di Malaysia

[INFO PERHUTANAN]
TAHUKAH ANDA…
Malaysia memiliki hutan jenis Hutan Hujan Tropika. Antara ciri-ciri Hutan Hujan Tropika adalah malar hijau, iaitu pokok-pokok tidak menggugurkan semua daun pada masa yang sama; tumbuh secara rapat-rapat dan tebal; serta terdapat empat (4) lapisan yang nyata iaitu lapisan Kanopi Teratas (Emergent), Kanopi Utama, Lapisan Bawah dan Lantai Hutan.
Mari kenali secara ringkas lapisan pokok yang terdapat dalam Hutan Hujan Tropika di negara kita ni.
Kanopi Teratas (Emergent Canopy)
Pada lapisan ini, tumbuhan terdiri daripada pokok-pokok yang sangat tinggi. Burung helang merupakan salah satu daripada pemburu hutan yang lazim kelihatan di sini.
Kanopi Utama (Main Canopy)
Pokok-pokok dalam lapisan ini kebiasaannya tumbuh lebih rapat antara satu sama lain dan daun-daunnya membentuk kanopi yang tebal memudahkan haiwan meluncur / melompat dari satu dahan ke dahan yang lain. Haiwan yang mendiami lapisan ini kebanyakannya daripada spesies monyet dan burung.
Lapisan Bawah Kanopi (Understorey)
Lapisan ini terdiri daripada pokok-pokok lebih kecil dan tumbuhan menjalar. Anak-anak pokok juga banyak di dapati di lapisan ini. Burung dan kelawar sangat kerap dijumpai pada lapisan ini melalui ruang terbuka yang tersedia ada. Binatang pemburu seperti harimau kumbang dan burung yang lebih besar berkeliaran di lapisan bawah kanopi.
Lantai Hutan (Forest Floor)
Pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan seperti cendawan, bunga rafflesia, pokok renek, dan pokok herba hidup dalam lapisan lantai hutan. Tumbuh-tumbuhan yang hidup di lantai hutan tumbuh jarang-jarang kerana kurang mendapat cahaya matahari. Haiwan yang terdapat di lapisan ini terdiri daripada pelbagai spesies seperti tapir, harimau, gajah, tenggiling dan lain-lain lagi.
Dengan memahami lapisan pokok di Hutan Hujan Tropika ni secara tak langsung menjadikan kita lebih mengenali hutan di sekeliling kita.