KUALA LUMPUR – Sejajar dengan usaha bagi memangkin penjagaan seterusnya tahap kesihatan pekerja khususnya ketika negara dalam Fasa Peralihan Ke Endemik, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melaksanakan semula Program Saringan Kesihatan atau Health Screening Programme (HSP), bermula 1 Jun 2022.
Program pemeriksaan kesihatan percuma buat pencarum PERKESO ini mula diperkenal pada tahun 2013, namun operasinya telah ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31 Mei 2022 dalam menyokong usaha Kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.
Dengan matlamat untuk memupuk kesedaran dan pencegahan awal serta membantu pengesanan penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Disease (NCD), HSP juga bermatlamat untuk menurunkan kadar risiko hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pencarum PERKESO.
Bermula 1 Jun juga, PERKESO akan menambahbaik program saringan kesihatan ini dengan memberi pengalaman baharu yang lebih menarik kepada pekerja serta panel perkhidmatan HSP.
Versi baharu HSP ini akan memanfaatkan platform baharu dikenali sebagai SEHATi, di mana ia merangkumi aplikasi mudah alih SEHATi bagi kegunaan pekerja dan Portal SEHATi bagi kegunaan panel perkhidmatan seperti klinik, makmal dan pusat mamogram.
Aplikasi mudah alih SEHATi yang mempunyai pelbagai fungsi menarik berkaitan kesihatan turut menawarkan fungsi pengurusan saringan kesihatan di bawah HSP yang mudah dan fleksibel.
Antaranya, pekerja boleh menyemak kelayakan HSP, membuat janji temu bagi saringan kesihatan dengan klinik panel dan mengakses keputusan ujian saringan. Aplikasi ini turut dilengkapi dengan modul Health Diary yang membolehkan pekerja merekod data kesihatan masing-masing bagi tujuan pemantauan kesihatan kendiri.
HSP adalah terbuka kepada pekerja berstatus warganegara yang berusia 40 tahun dan ke atas serta mencarum dengan PERKESO di bawah Skim Keilatan. Namun begitu, saringan kesihatan percuma turut ditawarkan kepada pekerja berumur antara 30 hingga 39 tahun yang mempunyai risiko kesihatan.
Bagi pekerja yang ingin menyemak kelayakan dan membuat saringan kesihatan HSP, mereka boleh mendaftar dengan memuat turun aplikasi mudah alih SEHATi menerusi platform Google Play Store atau Apple App Store.
Sementara itu, panel perkhidmatan HSP boleh memanfaatkan Portal SEHATi untuk menikmati kemudahan pengurusan saringan kesihatan di bawah HSP yang lebih baik.
Antaranya, pengurusan janji temu saringan kesihatan dan khidmat nasihat secara dalam talian, pengurusan rekod saringan kesihatan yang lebih sistematik dan kemudahan pengasingan bayaran secara terus kepada klinik, makmal dan pusat mamogram.
Sehubungan itu, semua panel perkhidmatan HSP digalakkan untuk membuat prosedur peralihan daripada Portal SEHAT yang digunakan sebelum ini kepada Portal SEHATi. Panel perkhidmatan hanya perlu mendapatkan kod akses dengan log masuk dalam Portal SEHAT dan ikuti arahan selanjutnya bagi urusan peralihan ke Portal SEHATi.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Portal SEHATi di https://sehati.perkeso.gov.my, hubungi [email protected] atau talian Hotline HSP di 03-4264 5089.