JAMBI – Lelaki berusia 56 tahun nekad membunuh seorang kanak-kanak 5 tahun gara-gara cintanya ditolak oleh ibu mangsa, lapor Tribun Bogor.
Kejadian sadis itu dilaporkan berlaku di Daerah Bungo, Jambi, Indonesia.
Menurut Tribun Bogor, mangsa telah mati dibunuh oleh lelaki tersebut di dalam sebuah bilik hotel kerana ibu kepada mangsa yang merupakan seorang janda menolak cintanya.
Difahamkan, lelaki itu kini telah ditahan dalam penjara. Suspek iaitu penduduk di Kampung Sungai Pinang, Kecamatan Bungo Dani, Daerah Bungo bakal berhadapan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara maksimum selama 20 tahun kerana perbuatannya.
Kejadian itu dilaporkan bermula ketika suspek mengajak mangsa dan ‘memancing’ untuk membelikannya mercun. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah bersetuju untuk mengikuti suspek.
“Suspek bukannya nak belanja mercun kepada mangsa sebaliknya membawa mangsa ke hotel. Di hotel itulah suspek membunuh mangsa dengan cara mencekik lehernya,” jelas Ketua Polis Bungo, AKBP Guntur Saputro.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam pada badan dan leher mangsa. Selepas membunuh mangsa, suspek kemudiannya meminum racun tikus dengan niat untuk mengakhiri hidupnya.
Namun rancangan itu gagal kerana suspek tidak mati. Sejurus selepas itu, suspek telah nekad pergi ke balai polis untuk menyerahkan dirinya.
Suspek kini telah ditahan di balai polis Bungo dengan beberapa barang bukti seperti kunci bilik hotel bernombor 10, sehelai baju mangsa, satu unit cadar, dua bantal, satu unit motosikal Honda Beat berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran dan sepasang sandal mangsa.
Berdasarkan hasil siasatan, suspek baru setahun berada di Daerah Bungo dan mempunyai sejarah putus cinta serta gagal dalam perkahwinan.
Motif kejadian disebabkan suspek itu tidak pernah berkahwin, kerana sering gagal dalam percintaan. Dia dilaporkan telah banyak menghabiskan duitnya supaya dapat berkahwin dengan wanita tersebut.
Namun apabila dia menyatakan niatnya untuk berkahwin, wanita itu terus menolak.
Oleh kerana trauma dan turut mengesyaki bahawa ibu mangsa mungkin ada hubungan sulit dengan lelaki lain, suspek nekad membunuh anak wanita tersebut.
Sumber: Tribun News