Siakap Keli

PKNS Tekad Tingkatkan Taraf Hidup Dengan Kediaman Mampu Milik ‘Residensi Idaman Selangorku’

Cyberjaya, Selangor, 7 Jun 2022 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menyerahkan kunci kepada pemilik 864 unit Residensi Idaman Selangorku (Jenis D) di Selangor Cyber Valley. Dua blok pangsapuri yang dibina di kawasan pembangunan yang menarik, berdaya maju dan selamat ini bakal menjadi kediaman bagi keluarga baharu, profesional bujang, warga emas dan juga pelajar serta penjawat awam.

Semasa merasmikan majlis penyerahan kunci, EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, YB Rodziah Ismail, berkata, “Pada masa kini, ramai yang mendapati sukar untuk memiliki kediaman mereka sendiri, memandangkan harga rumah yang tinggi. Menyedari cabaran yang dihadapi, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menyediakan dan memudahkan proses pembelian rumah mampu milik, demi menggalakkan ekonomi negeri yang berdaya saing.”

‘Residensi Idaman Selangorku’, sebuah projek oleh PKNS untuk menyokong Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM), ialah inisiatif yang bertujuan menyelesaikan isu kemampuan rakyat Malaysia membeli rumah dengan cara yang menyeluruh.

Unit-unit pangsapuri tersebut, dengan keluasan selesa 1,000 kps, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dua tempat letak kereta bagi setiap unit, ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM232,000. Pembangunan ini juga memastikan setiap unit menerima pencahayaan semula jadi dan pengudaraan secukupnya di samping menjaga hak privasi penghuni.

“Dengan matlamat membantu masyarakat B40 di Selangor untuk memiliki rumah sendiri, Residensi Idaman Selangorku bukan setakat kediaman fizikal semata-mata. Pelbagai aspek yang dipertimbangkan dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan persekitaran hidup lengkap dengan prasarana dan kemudahan untuk menambah baik kesejahteraan penduduk,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Dato’ Mahmud Abbas.

Untuk memastikan kediaman ini sesuai dihuni oleh segenap lapisan masyarakat, Residensi Idaman Selangorku Jenis D juga memenuhi keperluan penghuni kelainan upaya. Empat unit dibina khas untuk penghuni kelainan upaya, berserta dengan platform laluan kerusi roda di sekitar pangsapuri untuk memudahkan pergerakan orang kelainan upaya.

Terletak secara strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pembangunan seluas 14.41 ekar ini menyediakan infrastruktur logistik yang menyeluruh serta mudah diakses menerusi lebuh raya Expressway Lingkaran Tengah (ELITE), Putrajaya Link dan S.K.V.E.

Menekankan komitmen PKNS untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri, Dato’ Mahmud berkata, “Berbekalkan pengalaman lebih 58 tahun membina kediaman berkualiti, kami yakin bahawa Residensi Idaman Selangorku bakal menjadi penanda aras bagi kediaman mampu milik lain di Selangor.”

Mengenai PKNS

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (1964) sebagai sebuah badan berkanun dan agensi pembangunan untuk negeri Selangor.

Penubuhannya bertujuan memajukan negara selepas merdeka menerusi pengagihan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi saksama, berpandukan dasar-dasar kerajaan untuk mewujudkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial, terutamanya di negeri Selangor. Aspirasi ini dicapai dengan membina pusat pembangunan baharu, meneroka kawasan perumahan berdaya maju dan mampan, serta pembangunan pusat perniagaan dan perindustrian, di samping melaksanakan pelbagai aktiviti pelaburan.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.