IPOH – Seorang tukang gunting rambut wanita mengalami kecederaan selepas dipukul menggunakan sebatang besi oleh anak pelanggannya dalam kejadian di Felda Trolak Selatan, Sungkai, Isnin lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai telah menyerang mangsa dari arah belakang selepas melihat mangsa ‘memarahi’ ibunya yang sedang digunting rambut, lapor Kosmo!
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi.
Kejadian itu telah menyebabkan mangsa yang berusia 62 tahun menerima lima jahitan di kepala.
Kejadian itu berlaku ekoran berlakunya salah faham kerana mangsa yang mengambil upah menggunting rambut dari rumah ke rumah itu mempunyai masalah pendengaran.
“Ketika bercakap dengan pelanggan, mangsa yang pekak telah bercakap dengan nada yang tinggi dan ini menyebabkan suspek menyangka mangsa sedang memarahi ibunya.”
“Marah dengan keadaan itu, susek telah menyerang mangsa dari arah belakang dan mengetuk kepalanya dengan sebatang besi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang berada dalam keadaan berlumuran darah telah berlari ke arah rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum dibawa ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.
Pihak polis yang dimaklumkan kejadian itu telah ke lokasi dan berjaya menahan suspek serta merampas sebatang besi yang digunakan untuk mencederakan mangsa, katanya.
“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai 18 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Ujian awal saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Sumber: Kosmo!
Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’