KUALA LUMPUR – Berdasarkan senarai Forbes, kekayaan 50 individu terkaya di Malaysia telah merosot sebanyak 10% kepada RM353 bilion berbanding tahun lalu.
Walau bagaimanapun, pengasas Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok masih mengungguli tempat pertama.
Secara keseluruhan, seramai 30 individu dalam senarai itu telah menyaksikan kemerosotan kekayaan mereka, lapor Forbes Asia.
Didorong oleh pemulihan dalam permintaan ekonomi domestik, ekonomi Malaysia berkembang 5% pada suku pertama mengatasi kesan pandemik dan kesan banjir kilat yang berlaku pada Disember lalu.
“Meskipun pasaran saham merosot sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu, turun naik mata wang menyaksikan kemerosotan ringgit sebanyak 6.0 peratus,” katanya.
Forbes Asia berkata, Kuok kekal berada di tangga pertama individu terkaya meskipun kekayaannya merosot kepada RM48 bilion daripada RM53 bilion tahun lepas.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Syarikat Hong Leong (Malaysia) Tan Sri Quek Leng Chan meraih keuntungan tinggi dan menduduki tempat kedua dalam individu terkaya Malaysia dengan mencatatkan kekayaan sebanyak RM43 bilion.
Beliau menambah RM2 bilion kepada nilai kekayaan bersihnya sebanyak RM42 bilion tahun lepas.
Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradiknya yang mengawal syarikat aluminium Press Metal Bhd kekal di tempat ketiga dengan AS$6.2 bilion (RM27.2 bilion), tidak berubah daripada setahun lalu.
Melengkapkan senarai lima individu paling kaya adalah Pengasas dan Pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai kekayaan RM25 bilion.
Ananda Krishnan yang mempunyai kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd serta penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd dengan RM22 bilion.
“Peengeluar sarung tangan getah Malaysia merupakan antara yang meriah keuntungan tertinggi tahun lepas, namun, kini menghadapi cabaran ekoran kekurangan permintaan.”
“Permintaan untuk peralatan perlindungan diri merosot ekoran kes COVID-19 yang makin berkurangan sekaligus menjejaskan saham syarikat,” katanya.
Jumlah kekayaan bagi Kuan Kam Hon daripada Hartalega Holdings adalah sebanyak RM8 bilion dan Tan Sri Lim Wee Chai daripada Top Glove sebanyak RM6 bilion.
Masing-masing menduduki tangga ke 11 dan 14 dalam senarai Forbes Asia. Kedua-keduanya mengalami kemerosotan paling banyak dalam dolar.
Pasangan suami isteri, Datuk Seri Stanley Thai dan Cheryl Tan daripada Supermax menduduki tangga ke 45 menyaksikan peratusan terbesar kejatuhan kekayaan mereka, berkurangan lebih dua pertiga kepada RM1 bilion.
Kekayaan kolektif kumpulan lima orang ini, yang termasuk Tan Sri Lim Kuang Sia daripada Kossan Rubber Industries RM3 bilion dan Wong Teek Son daripada Riverstone Holdings RM2 bilion, turun lebih daripada RM25 bilion.
“Larangan sementara Indonesia ke atas eksport minyak boleh dimakan dalam persekitaran penurunan pengeluaran minyak sawit Malaysia memberikan keuntungan kepada hartawan dalam sektor tersebut,” kata Forbes Asia
Kekayaan yang dikongsi oleh adik-beradik yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian (RM7 bilion) mendapat kelebihan lebih daripada satu pertiga apabila saham syarikat mereka Batu Kawan dan anak syarikat perladangannya melonjak dengan peningkatan keuntungan.
Tan Sri Ling Chiong Ho (RM1 bilion), salah seorang daripada dua orang yang kembali disenaraikan tahun ini selepas empat tahun apabila saham Sarawak Oil Palm, syarikat utama kumpulan Shin Yangnya, meraih keuntungan.
Sementara itu, penyenaraian bulan Mac bagi pengeluar tenusu Farm Fresh mendorong Loi Tuan Ee yang berada di tangga ke 43 yang berkongsi kekayaan bersama dua adik-beradiknya, mempunyai kekayaan terkumpul sebanyak RM1 bilion, telah disenaraikan buat kali pertama.
Farm Fresh yang diasaskan oleh Loi dan abangnya Loi Tuan Kin pada tahun 2007 dan seterusnya mendapat sokongan dana kekayaan negara Khazanah Nasional, memiliki lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia.
Nilai bersih minimum untuk disenaraikan ialah AS$255juta, turun daripada AS$315 juta pada 2021.
10 individu terkaya Malaysia adalah:
- Robert Kuok – AS$11 bilion
- Quek Leng Chan -AS$10.1 bilion
- Koon Poh Keong dan adik beradik – AS$6.2 bilion
- Teh Hong Piow – AS$5.7 bilion
- Ananda Krishnan – AS$5 bilion
- Lee Yeow Chor dan Yeow Seng – AS$4.8 bilion
- Chen Lip Keong – AS$2.7 bilion
- Tan Yu Yeh dan Yu Wei – AS$2.4 bilion
- Lim Kok Thay – AS$2.35 bilion
- Lau Cho Kun – AS$2 bilion
Forbes Asia berkata, senarai itu dikumpul menggunakan maklumat pegangan saham dan kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, laporan tahunan dan penganalisis.
Nilai bersih berdasarkan harga saham dan kadar pertukaran ketika pasaran ditutup pada 20 Mei, 2022.
Warga asing yang mempunyai hubungan perniagaan, kediaman atau hubungan perniagaan lain dengan negara atau warganegara yang tidak menetap di negara itu tetapi mempunyai perniagaan penting atau hubungan perniagaan lain dengan negara turut layak untuk disenaraikan, katanya.
Sumber: Forbes
Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’