JAKARTA – Penduduk kampung di Sinjai, wilayah Sulawesi Selatan gempar apabila dikejutkan dengan kejadian yang jarang dilihat iaitu kelahiran seekor anak bermata tiga, lapor laman berita Detik semalam.
Apa yang menjadi tumpuan ramai penduduk di situ ialah mata ketiga yang ada pada lembu berkenaan berada di bahagian tengah kepala haiwan tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Penternakan dan Kesihatan Haiwan Sinjai, Burhanuddin, beliau berkata anak lembu bermata tiga yang dilahirkan di kampung tersebut pada awalnya dikesan hanya mempunyai satu mata sahaja.
Namun, apabila diteliti ternyata anak lembu bermata tiga berkenaan sebenarnya mempunyai keunikan iaitu mempunyai tiga mata di kepalanya.
“Keadaan ini sama seperti kembar siam bagi manusia. Lembu itu hanya seekor, namun mempunyai dua kepala.
“Namun, kepalanya bersambung dan terdapat satu mata pada bahagian tengah,” kata beliau lagi.
Beliau menerangkan kejadian ini berlaku disebabkan lembu berkenaan mengalami kecacatan pada genetiknya sehingga haiwan tersebut ada lebihan mata.
“Mungkin juga proses pembahagian sel berlaku secara tidak sempurna ketika ia hampir menjadi kembar,” beliau menerangkan.
Sementara itu, Ketua Kampung Palae, Irham Asfar pula mendakwa lembu yang unik ini mempunyai pemiliknya di mana juga merupakan penduduk kampung di situ yang bernama Muhammad Tamrin.
Pemilik lembu berkenaan melaporkan lembunya dilahirkan sekitar jam 10 pagi (waktu tempatan) dengan berat 35 kilogram, namun telah mati pada pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).
Sumber: Kosmo
Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’