Petaling Jaya, 10 Jun 2022- B.E.A.CC.H., kluster alam sekitar CSO Platform for Reform, amat bimbang mengenai cadangan projek perlombongan nadir bumi yang melibatkan tiga bidang tanah seluas kira-kira 1,430.634 ekar (578.957 hektar) di kawasan hutan di Hulu Perak.
Ini ditambah dengan lapan bidang tanah pertanian berhampiran milik kerajaan negeri seluas 3,907.882 ekar (1,581.438 hektar) yang turut diperuntukkan untuk projek perlombongan nadir bumi di daerah utara Perak.
Menurut ringkasan eksekutif kertas cadangan projek ini yang boleh didapati dalam laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS)1, kawasan berhutan seluas 1,430.634 ekar dimiliki oleh MBI Perak.
Sepertimana disuarakan oleh Sahabat Alam Malaysia, kebimbangan kami wajar dan munasabah kerana Kerajaan Negeri dan Persekutuan meluluskan projek perlombongan berskala besar di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1.
Kami amat khuatir projek ini akan menjejaskan dua hutan simpan: Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau.
“Kedua-dua hutan simpan ini adalah sebahagian daripada Central Forest Spine yang sepatutnya dilindungi dan tidak diterokai. Menurut ringkasan eksekutif cadangan projek itu lagi, hutan-hutan ini adalah habitat kepada pelbagai spesies terancam seperti harimau, gajah dan tapir Malaya,” kata Leela Panikkar, penyelaras B.E.A.CC.H.
Pengarah Treat of Every Environment Special (TrEES) berkata pembukaan kawasan boleh meningkatkan risiko pemburuan spesies terancam serta aktiviti pembalakan haram di dalam kawasan hutan ini.
TrEES adalah ahli B.E.A.CC.H.
Leela turut mempersoalkan kepakaran syarikat-syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri dalam bidang perlombongan unsur nadir bumi: “Adakah ketiga-tiga syarikat ini mempunyai pengalaman terdahulu serta kepakaran dan rekod prestasi yang mantap dalam melaksanakan kaedah In-Situ Leaching (ISL) untuk melombong lanthanid?”
Beliau menggesa pihak berkuasa negeri Perak untuk mendedahkan butiran perjanjian ketiga-tiga syarikat ini termasuk perjanjian pemaju rasmi projek, MCRE Resources Sdn. Bhd.
Selain itu, presiden GRASS Malaysia, M. Yusaimi Md Yusof berkata Akta Perhutanan Negara 1984 tidak membenarkan Kerajaan Negeri melombong unsur nadir bumi dalam hutan simpan: “Ia bertentangan dengan undang-undang perhutanan negara kita.”
GRASS Malaysia merupakan ahli B.E.A.CC.H.
Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mendedahkan maklumat lebih terperinci mengenai projek perlombongan nadir bumi berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar.
“Mohon melibatkan ahli-ahli kumpulan pemegang taruh dalam perlindungan alam sekitar dan komuniti tempatan yang akan terjejas secara jujur dan dengan niat baik. Maklumkan kami bagaimana sisa perlombongan ini akan dikendalikan dan disimpan.
“Dedahkan penemuan dan cadangan laporan EIA. Jadikan maklumat yang terlalu teknikal mengenai projek itu mudah difahami oleh orang ramai, terutamanya dalam Bahasa Malaysia,” kata Yusaimi.
Beliau turut menyokong kebimbangan Leela mengenai ketiadaan kepakaran dan pelan mitigasi yang besesuaian. Tapak perlombongan ini mungkin akan senasib dengan bekas tapak-tapak perlombongan bijih timah di Perak, yang tidak lagi sesuai untuk pertanian.
Muhammad Sha’ani Abdullah, pengerusi Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia), menambah bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Felcra Berhad telah menyimpang daripada wawasan dan misi mereka untuk mempromosikan pertanian sebagai tugas berkanun utama mereka.
“Mengapa mereka terlibat dalam perlombongan nadir bumi? Mereka seharusnya berusaha sedaya upaya untuk memajukan pertanian mampan, terutama di kalangan petani-petani kecil,” katanya.
SUSDEN Malaysia juga merupakan ahli B.E.A.CC.H.
Akhir sekali, sebagai membalas kenyataan Jabatan Mineral dan Geosains Perak bahawa lanthanid di Hulu Perak adalah nadir bumi bukan radioaktif2, B.E.A.CC.H. ingin menekankan bahawa Promethium3, salah satu daripada 15 unsur nadir bumi yang dikenali sebagai lanthanid, adalah radioaktif.