SERDANG, 09 JUN 2022 – Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2022 telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di MAEPS Serdang sini. Bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” atau “Food Security for the Future”, penetapan tema ini adalah bertepatan dengan tumpuan yang sedang diberikan dalam memperkukuhkan agenda sekuriti makanan Negara.
Dalam ucapannya Ronald menyeru agar semua pihak memberikan komitmen penuh kepada penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show – MAHA 2022 yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos 2022.
“Penganjuran MAHA 2022 pada tahun ini dijangka bakal menarik 1.1 juta pengunjung selain menyasarkan lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan produk pertanian dan agromakanan termasuk pemadanan perniagaan (business matching),” jelas beliau.
Penganjuran terakhir MAHA pada tahun 2018 telah berjaya menarik seramai 3.3 juta orang pengunjung dan mencatatkan hasil jualan sebanyak RM215 juta. Pada tahun 2020 pula, program secara dwi-tahunan MAHA ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan penularan COVID-19 ketika itu. Kini, setelah 4 tahun, MAHA kembali lagi dan akan menjadi salah satu acara tumpuan yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai.
Selaras dengan hasrat MAFI untuk menjadikan sektor pertanian dan industri makanan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka sepanjang tahun ini.
Perlaksanaan MAHA 2022 ini akan menjadi platfom Kementerian bagi mencapai objektif yang disasarkan, iaitu :
i. Aktiviti pemadanan perniagaan (business matching);
ii. Mempamerkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang agromakanan;
iii. Menjelaskan hala tuju dan menyediakan platform untuk perkembangan
perniagaan dalam dan luar negara;
iv. Menggalakkan penglibatan generasi muda menceburi bidang perniagaan
pertanian;
v. Memartabatkan MAHA sebagai pameran perdagangan pertanian yang terunggul
dengan menarik penyertaan syarikat-syarikat korporat dan pemain industri; dan
vi. Memberi dorongan dan meraikan barisan hadapan sektor agromakanan yang
merangkumi golongan peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha agromakanan
di sepanjang rantaian nilai.
Kementerian juga akan terus mengorak langkah menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi memodenkan industri pertanian negara sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 bagi memastikan sektor agromakanan berdaya saing dan mampan.
Lebih kurang 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan pada MAHA kali ini mengikut segmen seperti :
i. Pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan;
ii. Pameran oleh syarikat swasta dan badan korporat tempatan;
iii. Seminar dan konvensyen agromakanan;
iv. Pengoperasian laman-laman dan rumah negeri;
v. Makanan popular Malaysia di Empayar Makanan; dan
vi. Tidak ketinggalan juga, Farmers’ Market, di mana 70 lot jualan akan disediakan
untuk menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga yang berpatutan.
Di majlis yang sama, MAFI juga mengumumkan pakej tajaan yang ditawarkan kepada syarikat atau organisasi yang berminat menjadi rakan strategik MAHA serta harga booth untuk pameran sama ada di dalam atau pun di luar dewan.
Kementerian sentiasa mengalu-alukan idea dan pandangan semua pihak berkepentingan untuk terus menambah baik pendekatan-pendekatan yang dirangka dan dilaksanakan demi kebaikan sektor agromakanan dan jaminan sekuriti makanan negara pada masa hadapan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, oleh Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, YBhg. Datuk Badrul Hisham Bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, YBbrs. Puan Azah Hanim Binti Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, YBhg. Dato’ Dr Mohamad Zabawi Bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI termasuk wakil-wakil Kerajaan Negeri dan pemain industri.