Singapura dilapor bakal membuka pusat ternakan daging ayam dibiak daripada sel terbesar Asia hasil kerjasama dengan firma teknologi makanan dari Amerika Syarikat, Eat Just’s Good Meat, seluas 30,000 kaki persegi di Bedok.
Sebelum ini, negara berkenaan juga menjadi negara pertama yang meluluskan penjual daging berasaskan sel, yang juga merupakan produk keluaran firma daripada negara Uncle Sam itu.
Ayam ternakan sel ialah daging daripada sel ayam yang dibiak dalam bioreaktor, sama seperti penggunaan tong dalam penghasilan bir. Teknik penghasilan daging ini sama sekali tidak melibatkan penyembelihan ayam sebenar.
Sebaik sahaja beroperasi pada suku pertama tahun hadapan, Kilang Bedok bernilai RM 268.52 juta itu akan menempatkan 6, 000 liter bioreaktor. Dengan itu, ia menjadikan industri penghasilan daging yang yang terbesar setakat ini dan akan menghasilkan puluhan ribu kilogram ayam setiap tahun.
Kira-kira 50 penyelidik, saintis dan jurutera akan bekerja di kemudahan itu, yang akan menjadikan kilang Good Meat terbesar sehingga kemudahan kedua di Amerika Syarikat dibina.
Penyelidikan dan pembangunan dalam makanan baharu dan protein alternatif itu telah mendapat perhatian Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan apabila republik itu berusaha meningkatkan keselamatan makanannya dan menghasilkan makanan secara mampan.
Singapura kini mengimport lebih daripada 90 peratus makanannya. Negara tersebut sedang berusaha menentang kejutan bekalan makanan global dengan menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 30 peratus makanan tempatan menjelang 2030.
Pengumuman kemudahan baharu itu datang seminggu lebih selepas larangan eksport ayam daripada Malaysia, yang menyebabkan pembekal dan penjual di sini kekurangan stok daging segar. Keadaan ini memaksa pengguna di negara tersebut bertukar kepada ayam yang sejuk beku dan diproses.
Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Grace Fu berkata, “pengimport kami dapat bertindak balas dengan cepat untuk memanfaatkan rangkaian pembekal mereka yang luas daripada sumber alternatif, seperti daripada pembekal di Thailand dan Australia.”
Jumlah besar makanan berasaskan tumbuhan atau kultur sel boleh dihasilkan dengan penggunaan tanah yang lebih rendah, penggunaan tenaga buruh yang minimun dan mengurangkan pelepasa gas rumah hijau.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, sektor ternakan global menyumbang sebanyak 14.5 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau.
Good Meat percaya kos tenaga dan karbon daripada pengeluaran daging yang dibiakkan melalui sel akan jauh lebih rendah berbanding sektor peladangan haiwan.
Pada Julai lalu, kemudahan pengeluaran daging kultur komersial pertama di dunia mula beroperasi di sini apabila Esco Aster, sebuah organisasi pembangunan dan pembuatan kontrak tempatan telah diberi kelulusan untuk menghasilkan makanan baharu itu.
Esco Aster, rakan kongsi strategik Good Meat menjelaskan akan ada peluang untuk mengukuhkan perkongsian mereka apabila kemudahan Bedok siap dan beroperasi.
Ayam alternatif bukanlah satu-satunya makanan baru dari Eat Just yang boleh didapati di Singapura. Firma itu juga sedang mengusahakan kilang protein tumbuhan terbesar di negara ini di Pioneer, yang akan menghasilkan telur vegan menggunakan kacang hijau.
Sumber: tnp