Siakap Keli
hamid gurkha
Gambar via Sinar Harian

Di Sebalik Watak Komedi Allahyarham Hamid Gurkha, Ramai Tak Tahu Arwah Rupanya Bekas Tentera

Siapa yang tidak mengenali pelawak veteran negara, Abdul Hamid Abdul Rahman (Allahyarham) atau lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha yang banyak memberikan sumbangan dalam industri seni tanah air.

Beliau yang tampil dengan pelbagai ragam dan tawa banyak menghabiskan masanya dengan menghiburkan rakyat Malaysia sama ada di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Bagaimanapun pada 14 Jun hari ini, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian permata seni tanah air itu pada jam 2.19 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Beliau yang menginjak usia 90 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 9 Jun lalu akibat mengalami batuk berkahak.

Pemergian arwah meninggalkan 1,001 kisah kerana sentiasa menghiburkan rakyat Malaysia sehingga tidak kering gusi dengan lawaknya. Jasa beliau akan sentiasa dikenang dan mendapat tempat di hati peminatnya.

Sehubungan itu, bagi mengenang kembali jasa dan kenangan arwah, mari ikuti perkongsian ringkas perjalanan hidupnya sebagai pelakon tanah air satu ketika dahulu.

Johan Bintang RTM

Allahyarham Hamid dilahirkan pada tanggal 22 Ogos 1933 dan membesar di Segambut, Kuala Lumpur. Beliau mula berkecimpung dalam industri seni negara sejak tahun 1965 dengan menyertai Pertandingan Bintang Radio RTM dan berjaya dinobat sebagai johan.

Tidak hanya bijak berbicara dalam Bintang Radio RTM, sahabat karibnya, Datuk Jamal Shadat yang juga merupakan seorang pelawak pada ketika itu mengajak arwah Hamid untuk terlibat sebagai pelawak pentas.

Bidang pentas dan filem

Sejak dari itu, nama Hamid Gurkha semakin bersinar lagi-lagi melalui filem Panglima Badol (1978) yang merupakan lakonan pertamanya. Antara filem lain dibintanginya termasuklah Gila-Gila (1979), Aku Yang Berhormat (1983), Senario The Movie (1999) dan banyak lagi.

Penglibatan arwah dalam industri seni sememangnya tidak boleh dinafikan. Hasilnya, beliau telah menerima anugerah perhargaan khas atas sumbangannya dalam dunia seni iaitu Anugerah Lawak Warna ke-2 pada tahun 2014 bersama rakannya Datuk Jamali Shadat.

Tambah lagi, arwah sangat mengidolakan seniman nombor satu negara iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Beliau juga kerap kali menyanyikan lagu-lagu nyanyian asal seniman terulung tersebut.

Berkhidmat sebagai askar & sejarah ‘Gurkha’

Mungkin ramai yang tidak menyangka, sosok tubuh pelawak yang sentiasa buat orang tidak kering gusi ini sebenarnya pernah menjadi anggota tentera satu ketika dahulu.

Memetik sejarah hidupnya, arwah Hamid pernah berkhidmat sebagai perajurit tanah air di bawah naungan British selama tujuh tahun lamanya, bermula dari 1950 hingga 1957. Ketika inilah istilah ‘Gurkha’ muncul.

Merujuk artikel Sinar Harian yang disiarkan pada 26 April 2020, pada suatu hari, seorang jurulatih memanggilnya dengan gelaran Gurkha kerana tidak tahu nama sebenarnya ketika itu.

“Sebenarnya nama saya orang panggil Hamid saja. Masa saya masuk askar, ada satu kejadian yang menyebabkan perkataan Gurkha lekat pada nama saya sampai hari ini.

“Masa saya berkawad dekat Padang Square, Port Dickson, ada jurulatih mungkin dia tak tahu nama saya, dia panggil saya Gurkha. Jadi Gurkha itu dah lekat pada nama saya sampaikan orang panggil saya Hamid Gurkha,” katanya, memetik artikel tersebut.

Merujuk Sinar Harian, selaku anggota tentera yang mempertahankan tanah air, arwah mendedahkan bahawa dirinya sendiri pernah bertempur dengan tentera Komunis pada ketika itu.

Beliau telah mengabdikan jasa dalam dunia seni tanah air melebihi 30 tahun. Pemergian arwah pada hari ini adalah satu berita yang amat mendukacitakan buat industri seni Malaysia.

Semoga roh Allahyarham Abdul Hamid Abdul Rahman atau lebih mesra dikenali sebagai Hamid Gurkha ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah, Al-Fatihah.

Sumber: Wikipedia, Sinar Harian

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.