Siakap Keli
10 benda pelik ditemui angkasawan
Gambar Via India Times

Masih Misteri Sehingga Kini, Ini 10 Benda Pelik Yang Pernah Ditemui Angkasawan

Ketahui 10 benda pelik yang pernah ditemui angkasawan semasa menjelajah ke angkasa lepas, nombor dua paling seram.

Sejak berabad lamanya, manusia telah berjaya melakukan penerokaan ke angkasa lepas dan menjalankan kajian yang ‘membongkar’ pelbagai penemuan yang sangat menakjubkan.

Penemuan tersebut pula kadang kala dijadikan sebagai penanda aras untuk dikaitkan dengan keadaan bumi dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, tidak semua penemuan itu dapat dijelaskan dengan menggunakan data atau kepakaran saintifik. Ada sesetengah darinya yang masih menjadi tanda tanya dan misteri sehingga kini.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa kepakaran dan pengetahuan manusia ada batasnya. Dalam konteks angkasa lepas yang tidak dapat dikira keluasannya, mungkin ada perkara yang tidak perlu kita ketahui dengan lebih mendalam.

Bercakap mengenainya, terdapat beberapa perkara pelik dan misteri yang didakwa pernah dialami oleh beberapa orang angkawasan ketika berada di angkasa lepas. Ingin tahu? Mari ikuti perkongsian di bawah ini.

10 perkara misteri dan pelik dijumpai angkasawan

1. Ular di angkasa

Anda silap jika merasakan bahawa ular hanya boleh tinggal di bumi kerana bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Dr. Musgrave mendakwa pernah terlihat seekor ular putih sepanjang lapan kaki terapung di angkasa.

Dalam satu temubual, beliau mendakwa bahawa pernah melihat ‘makhluk’ itu sebanyak dua kali.

Pun begitu, dakwaannya itu juga disangkal kerana ‘ular’ yang dilihat olehnya itu mungkin hanyalah wayar yang disambung pada kapal angkasa.

2. Misteri ketukan

Seperti yang diketahui, angkasa lepas sentiasa sunyi dan tidak pernah ‘dicemari’ dengan bunyi- bunyian. Namun, kisah yang dikongsikan oleh angkasawan dari China, Yang Liwei ini mungkin akan membuatkan bola roma anda meremang.

Difahamkan, beliau pernah terdengar ketukan ketika berada di dalam kapal angkasanya.

Menurutnya, ketukan itu diibaratkan seperti seseorang sedang mengetuk baldi besi dengan menggunakan tukul kayu.

Lebih menarik, bukan beliau seorang sahaja yang mendengar ketukan misteri itu tetapi terdapat beberapa lagi angkasawan dari China yang berada di sana di antara tahun 2005 hingga 2008 dilaporkan mendengarnya.

3. Neil Armstrong dan UFO

Umum mengetahui bahawa Neil Armstrong merupakan manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan. Penjelajahannya ke sana kekal menjadi rekod sejarah yang akan diingati sampai bila-bila.

Bagaimanapun di sebalik kisah kejayaannya itu, timbul satu dakwaan yang mengatakan bahawa Armstrong pernah melihat kapal milik makhluk asing atau disebut sebagai UFO ketika berada di bulan.

Ia didakwa berlaku ketika misi Apollo 11 pada tahun 1969 di mana NASA telah kehilangan transmisi selama dua minit.

Selepas itu, Armstrong dikatakan telah menghantar satu mesej rahsia kepada NASA, yang menggambarkan mengenai kapal angkasa yang dilihat olehnya.

“Ia sangat besar tuan, sangat-sanga besar! Ya Tuhan! Ada kapal angkasa lain di sini, tuan pasti tidak akan percaya! Mereka berada di bulan dan sedang memerhatikan kita!.” kata mesej itu.

Pun begitu, Armstrong tidak pernah bercakap mengenai khabar angin tersebut selepas dia pulang semula ke bumi.

4. Bunyi muzik pelik

Ketika misi Apollo 10, satu kajian dilaporkan telah dijalankan oleh para angkasawan yang melibatkan pelbagai alat ujian.

Ketika itu, pelbagai risiko boleh berlaku kerana ia merupakan ruang angkasa sebenar, bukannya simulasi.

Tidak berapa lama kemudian, mereka didakwa telah terdengar satu bunyi pelik melalui fon kepala dan menggambarkanna sebagai ‘muzik angkasa’.

5. Objek bersinar di bulan

Angkasawan NASA, Alan Bean didakwa pernah ternampak suatu benda yang bersinar di bulan. Beliau menggambarkan sinar itu seperti kulit kasut.

Sehingga kini, penemuan itu tidak dapat dijelaskan dan masih menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, ada yang mendakwa bahawa objek itu adalah kubah kaca yang berasal dari tamadun makhluk asing di bulan.

6. Bangkai haiwan

Seperti yang diketahui, ada beberapa jenis haiwan yang telah dibawa ke angkasa lepas termasuk kucing dan monyet.

Kebanyakan dari haiwan itu tidak akan selamat iaitu sama ada akan mati di angkasa atau selepas tiba di bumi.

Bagi yang mati di angkasa, bangkainya didakwa masih terapung di sana dan boleh dilihat oleh angkasawan.

7. UFO dirakam

Ketika misi yang dijalankan oleh stesen angkasa Rusia pada tahun 1991, angkasawan yang dikenali sebagai Musa Manarov didakwa telah merakam satu objek yang kelihatan seperti kapal angkasa.

Tetapi, objek itu dikatakan menghilang secara tiba-tiba dan tidak lagi dapat dikesan.

Objek yang didakwa sebagai UFO itu dilihat seperti bentuk silinder tetapi ia menghilang secara tiba-tiba dan tidak lagi dapat dikesan.

Sehingga kini, ia masih lagi tidak dapat dikenal pasti.

8. Cahaya aneh

Seorang angkasawan dari Amerika Syarikat, Leroy Chiao dan krunya mendakwa telah melihat satu cahaya aneh di angkasa.

Formasi cahaya itu digambarkan seperti berbentuk V dan ia melintasi ketika kapal mereka  sedang terbang di angkasa.

“Saya agak skeptikal dengan dakwaan yang mengatakan bahawa kami telah dikunjungi oleh makhluk asing dari dimensi dan planet lain, tetapi saya tidak menolaknya 100 peratus,” katanya dalam satu temu bual.

9. Objek tidak dikenal pasti

Pada tahun 2013, angkasawan, Christopher Cassidy telah melakukan penerbangan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan pada satu ketika beliau terlihat satu objek yang terapung melalui tingkapnya.

Difahamkan, beliau terus menghubungi Mission Control untuk melaporkan mengenai perkara tersebut.

NASA telah menjalankan siasatan dan mendapati bahawa ia merupakan penutup antena dari modul perkhidmatan Zvezda Rusia.

Bagaimanapun, wujudnya teori konspirasi mengenai objek tersebut dan ada yang mendakwa bahawa ia adalah makhluk luar angkasa.

10. Bebola hijau

Melakukan penjelajahan solo mengelilingi bumi, Gordon Cooper didakwa telah terlihat satu objek seperti bebola yang berwarna hijau.

Ia dikatakan menghampiri kapsul Mercury yang dinaiki olehnya pada ketika itu. Bagaimanapun, ia tidak dapat dijelaskan dan sehingga kini masih menjadi misteri.

Cooper dalam satu kenyataan pernah berkata bahawa beliau percaya makhluk luar angkasa telah mengunjungi bumi dari planet lain.

“Kebanyakan angkasawan keberatan untuk membincangkan mengenai UFO, saya pernah melakukan pemerhatian selama dua hari pada tahun 1951 dan dapat menyaksikan banyak kapal daripada pelbagai saiz dari timur ke barat Eropah,” dakwanya.

Sumber: Ranker, India Times

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.