Siakap Keli

Bagi 200% Atas Padang, Syamer Kutty Abba Wira Tak Didendang

Syamer Kutty Abba Wira Yang Tak Didendang

Alhamdulillah, Malaysia akhirnya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas penantian lebih 40 tahun berjaya dihentikan oleh skuad Harimau Malaya malam tadi.

Malaysia berjaya membenam pasukan Bangladesh dalam aksi terakhir peringkat kelayakan dan berjaya menduduki tempat kedua dalam kumpulan E di belakang Bahrain dengan mengumpul 6 mata.

Semua pemain memberikan aksi terbaik mereka sepanjang kempen kelayakan kali ini dan Malaysia memiliki kelebihan apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk kumpulan E. Stadium Bukit Jalil menjadi stadium keramat dengan sorakan lebih 50,000 penyokong membawa Malaysia ke Piala Asia.

Antara nama-nama pemain yang diangkat sepanjang kempen ini adalah Safawi Rasid, Ariff Aiman, Faisal Halim, Darren Lok dan beberapa lagi pemain utama lain.

Tapi mungkin kita terlepas pandang nama seorang pemain yang sepatutnya diangkat sebaris dengan nama-nama yang disebut tadi kerana telah memberikan 200% kudrat beliau sepanjang kempen ini.

Beliau membawa watak nombor enam dalam pasukan kendalian Kim Pan Gon, siapa lagi tak lain tak bukan Syamer Kutty Abba. Mungkin ada diantara kita pernah mengkritik beliau ketika bermain di bawah pengurusan Tan Cheng Ho.

Prestasi A+ Syamer Kutty Abba Wira Tak Didendang

Namun, prestasi A+ beliau di bawah kendalian Kim Pan Gon sangat luar biasa setakat ini. Syamer betul-betul menjalankan tugas beliau sebagai pemain no.6 dalam pasukan. Melindungi ‘backline’ Malaysia, menjana serangan Malaysia dari bawah dan melindungi tempat yang ditinggalkan Corbin Ong ketika overlap.

Sungguh luar biasa pemain ini. Ternyata corak permainan beliau berubah 360 darjah dan sepatutnya beliau menjadi pemain yang didendang seperti pemain-pemain utama yang lain.

Lihat sahajalah ketika Syamer dikeluarkan malam tadi bagaimana reaksi Kim Pan Gon memeluk erat dan tersenyum lebar kepada Syamer dan sudah tentu reaksi itu kerana Syamer telah memberikan lebih dari apa yang diharapkan Kim Pan Gon.

Artikel ini bukanlah untuk menafikan sumbangan pemain lain tapi sekadar artikel ‘penghargaan’ buat Syamer apabila SK melihat namanya kurang diperkatakan berbanding pemain yang menjaringkan gol.

Bagi penulis secara peribadi, watak yang dimainkan Syamer di atas padang antara elemen paling penting dalam pasukan untuk menyerap segala tekanan serangan dari pihak lawan. Jika Syamer gagal maka runtuhlah ‘backline’ Malaysia.

Jika di Liverpool mereka ada Fabinho, jika di Real Madrid mereka ada Casemiro tetapi dalam pasukan Harimau Malaya kita ada SYAMER KUTTY ABBA. Tahniah semua pemain, tahniah semua barisan kejurulatihan, tahniah semua badan pengurusan. Semoga berjaya dalam kempen Piala Asia 2023 nanti.

SK tidak dapat memberikan secara visual aksi Syamer dalam kempen kelayakan kali ini. Mujurlah sebuah channel Youtube, JDT PERFORM PLAYER kompilasikan aksi Syamer Kutty ketika menentang Turkmenistan.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.