Polis Daerah Shah Alam mengesahkan bahawa keengganan pemandu ketepikan keretanya menjadi punca pergaduhan membabitkan penunggang motosikal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, kejadian pergaduhan itu dilaporkan berlaku di Persiaran Kerjaya Glenmarie Seksyen U1 Shah Alam.
Video yang memaparkan insiden pergaduhan tersebut telah tular sejak beberapa hari yang lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penunggang motosikal berusia 31 tahun itu telah membuat laporan polis pada 13 Jun lalu susulan kejadian tersebut.

Hasil siasatan mendapati bahawa berlakunya pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki Melayu berusia 29 tahun yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya ketika di Persiaran Kerjaya.
Ia menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang motosikal yang lain terhalang dari meneruskan perjalanan.

“Pertengkaran mulut yang berlaku disusuli dengan pergaduhan yang akhirnya dileraikan oleh orang ramai.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk selesaikan secara baik dan pengadu hanya buat covering report sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.
Menurutnya lagi, kedua-dua pihak iaitu pengadu dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2000 atau kedua-duanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengadu juga telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.
Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
Sumber: Polis (IPD) Shah Alam