Siakap Keli
tentera colombia temui bangkai kapal perang
Gambar: The Maritime Executive

Tentera Laut Colombia Temui Dua Bangkai Kapal Perang Lama Berhampiran Lokasi ‘San Jose’ Karam

Tentera Laut Colombia temui dua bangkai kapal lama di dasar perairan Cartagena, Caribbean baru-baru ini, berhampiran dengan lokasi kapal perang lama Sepanyol, San Jose ditemui.

Memetik The Maritime Executive, kedua-dua bangkai kapal bersejarah tersebut ditemui menerusi empat siri ekspedisi yang dijalankan pihak navy menggunakan remotely operated vehicle (ROV).

Tinjauan ROV di lokasi bangkai kapal itu menemukan beberapa artifak lama seperti longgokan syiling emas, meriam Seville, pasu, balang, jongkong emas, pinggan mangkuk dipercayai dari China dan sebagainya.

Difahamkan, menurut BBC, kedua-dua bangkai kapal yang ditemui itu adalah jenis colonial boat dan schooner, dipercayai digunakan ketika era penjajahan Sepanyol ke atas Colombia kira-kira 200 tahun yang lalu.

Gambar: The Maritime Executive

Presiden Colombia, Ivan Duque berkata, penemuan kapal serta artifak bersejarah tersebut adalah khazanah negara yang tiada tolok bandingnya.

“Kerajaan kami memutuskan bahawa semua khazanah ini adalah satu dan ia tidak boleh dibahagikan ataupun dipisahkan nilai kekayaannya yang tidak ternilai,” katanya, memetik The Maritime Executive.

Sementara itu, Laksamana Tentera Laut, Jose Joaquin Amezquita berkata, masih terdapat 13 bangkai kapal (bersejarah) lagi yang belum ditemui setakat ini.

“Penemuan bangkai kapal itu berkemungkinan memberi petunjuk tentang (kewujudan) tapak pembinaan meriam kapal di Seville dan Cadiz pada tahun 1655.

“Syiling Kepingan Lapan (Eight Reales) pasti akan ditemui bersama-sama syiling biasa pada zaman itu,” katanya, memetik The Maritime Executive.

Gambar: The Maritime Executive

San Jose tenggelam bersama emas

Imbas kembali, San Jose merupakan kapal perang (disebut galleon) Sepanyol yang karam di perairan Cartagena, Caribbean akibat diserang British pada tahun 1708.

Merujuk The Maritime Executive, pada 28 Mei 1708, tiga galleon besar Sepanyol iaitu San Jose, San Joaquin dan Santa Cruz berlayar dari Portobelo ke Cartagena sambil diiringi 14 kapal dagang.

Difahamkan, perlayaran San Jose pada ketika itu membawa sejumlah besar muatan emas (dipercayai milik kerajaan Sepanyol) yang dianggarkan bernilai RM75 bilion.

Bagaimanapun, pada 8 Jun tahun yang sama, San Jose telah diserang oleh empat buah kapal perang milik Tentera Laut Diraja British. Selepas satu jam setengah bertempur, akhirnya galleon itu meletup dan karam bersama muatan emas dan 600 anak kapal.

Sementara itu, Santa Cruz akhirnya ditawan British, manakala San Joaquin pula dilapor berjaya ‘melarikan diri’ ke lokasi selamat yang terletak di Pelabuhan Cartagena ketika itu.

Gambar: The Maritime Executive

Penemuan San Jose, diperakui selepas 30 tahun

Pada tahun 1981, seorang individu mendakwa pihaknya menemui lokasi bangkai kapal San Jose yang karam itu di Cartagena, namun Kerajaan Colombia menafikan dakwaan tersebut.

Ekoran penafian tersebut, kes itu dibawa ke peringkat mahkamah. Setelah hampir 30 tahun ‘berdebat’, Mahkamah US akhirnya memutuskan bahawa ‘kemenangan’ berpihak kepada Colombia.

Pada 2015 berikutnya, tentera laut Colombia mendakwa telah menemui lokasi sebenar San Jose karam di Cartagena. Bagaimanapun, muatan emas dan harta karun bernilai kira-kira RM75 bilion masih belum dijumpai sehingga kini.

Sehubungan itu, Kerajaan Colombia tetap optimis untuk terus memantau tapak lokasi kapal bersejarah karam tersebut sehingga emas dan artifak lain dapat ditemui dan ditempatkan di muzium.

Sumber: The Maritime Executive / BBC

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.