Wanita penulis artikel Cara Bunuh Suami Anda dipenjara seumur hidup, ia tentang kisah pembunuhan yang ‘real’ terjadi selepas diungkapkan di dalam penulisan.
Seorang wanita yang pernah menulis artikel ‘Cara Bunuh Suami Anda’ pada 2011 dipenjara seumur hidup atas kesalahan membunuh suaminya sendiri dalam satu kejadian empat tahun lepas, lapor CNN News.
Menurut laporan, Emma (bukan nama sebenar), 71, bertindak membunuh suaminya, John (bukan nama sebenar), 63, dipercayai kerana mengalami masalah kewangan dan dibebani hutang.
Difahamkan, ketika hari kejadian pada 2 Jun 2018, John yang merupakan seorang tenaga pengajar kulinari di Institut Kulinari Oregon di Portland sejak 2006 itu sedang mengajar di dalam bilik kuliah.
Bagaimanapun ketika sedang mengisi ais di dalam baldi di depan pelajarnya, Emma muncul secara tiba-tiba dan terus menembaknya sebanyak dua kali di dada dan kepala pada jarak dekat hingga mati.
Berdasarkan kes, wanita itu menembak suaminya menggunakan senjata dipercayai pistol jenis glock ekoran penemuan dua butir peluru berukuran sembilan milimeter di lokasi kejadian.
Difahamkan, kejadian bunuh itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di institusi kulinari tersebut yang memaparkan kedatangan Emma ke lokasi kejadian dengan menaiki van mini miliknya.
Bagaimanapun ketika perbicaraan, wanita itu menafikan ‘kelibatnya’ di lokasi kejadian, sebaliknya berkeras mengatakan bahawa van yang berada di situ hanyalah kebetulan saja.
Alami masalah kewangan & suami miliki insurans
Menurut hakim, Christopher Ramras, Emma mengalami masalah kewangan dan dibebani hutang. Dalam masa sama, suaminya pula memiliki polisi insurans hayat bernilai kira-kira RM4.4 juta.
Namun wanita itu menafikan bahawa dia mempunyai kewangan yang lebih baik berbanding ketika suaminya masih hidup.
Malah semasa perbicaraan, Emma berkata dia tidak mempunyai sebab untuk membunuh suaminya kerana sebahagian besar hutangnya telah diselesaikan menggunakan duit suaminya itu.
Selain itu, jelas Christopher, Emma membeli senjata api berkenaan (untuk membunuh John) adalah sebagai inspirasi untuknya menulis novel.
“Apa yang dia boleh beritahu, ia (senjata api tersebut) adalah untuk menulis dan bukan untuk membunuh suaminya seperti yang anda percaya,” jelas hakim itu.
Meskipun kejadian bunuh itu seakan-akan ‘realiti’ kepada artikelnya yang ditulis tujuh tahun lalu, namun hakim memutuskan untuk tidak menjadikannya sebagai bukti kerana boleh menjejaskan pendakwaan.
Artikel ‘Cara Bunuh Suami Anda’
Imbas kembali, pada tahun 2011, Emma menulis satu artikel di dalam blog miliknya yang berjudul ‘Cara Bunuh Suami Anda’ yang dimulai dengan ayat di bawah.
“Sebagai seorang penulis suspens yang romantis, saya menghabiskan banyak masa untuk memikirkan cara membunuh, kesan-kesan terhadapnya dan prosedur polis,”
Artikel yang berjumlah 700 patah perkataan itu telah disiarkan di blog ‘S** J*** P******’ miliknya yang kini sudah pun ditutup (private).
Tambahan lagi, dalam penulisan itu juga terkandung kebaikan dan keburukan membunuh suaminya secara terperinci.
” Jika membunuh dapat membuatkan saya bebas, saya pasti tidak mahu menghabiskan waktu di dalam penjara,” tulisnya dalam artikel itu.
Sumber: CNN News