Microsoft dilaporkan telah menamatkan operasi pelayar Internet Explorer pada Rabu selepas 27 tahun ‘berkhidmat’ untuk pengguna di seluruh dunia.
Memetik laporan portal People, jika masih ada pengguna yang membuka pelayar tersebut, mereka akan disambung ke pelayar terbaru syarikat itu, Microsoft Edge.
Terdahulu, syarikat itu pernah menjelaskan bahawa mereka sudah mula untuk ‘melenyapkan’ pelayar Internet Explorer sejak beberapa tahun lalu dan lebih menumpukan kepada Microsoft Edge.
Sejak dilancarkan pada tahun 1995, ia menjadi salah satu platform popular untuk mengakses internet.
Walaupun ia dianggap sebagai pelayar yang tidak terlalu efisien namun banyak perniagaan terus menggunakannya untuk menjalankan aplikasi dalaman.
“Microsoft Edge bukan sahaja lebih moden dan pantas tetapi ia juga selamat daripada Internet Explorer.
“Ia juga masih lagi mempunyai mod Internet Explorer (IE mode), jadi anda boleh mengakses laman web dan aplikasi berasaskan Internet Explorer terus daripadanya,” kata Microsoft dalam satu kenyataan pada 2021.
Sementara itu, The Wall Street Journal melaporkan bahawa setakat bulan ini, 28% orang yang melayari internet masih menggunakan pelayar Internet Explorer.
Untuk perbandingan, kira-kira dua pertiga orang menggunakan Google Chrome, manakala 18% menggunakan Safari Apple.
Sumber: People