Dengan menggunakan penerbangan kelas ekonomi ke mana-mana sahaja bagi jangka masa yang lama adalah suatu pengalaman yang biasa dilalui bagi rata-rata pengembara udara. Selalunya, ramai yang memilih kelas ekonomi kerana kos yang lebih rendah, biarpun pengalaman penerbangan yang ditawarkan tidaklah seberapa. Jika kerusi satu baris kelas ekonomi dirasakan sempit dan tidak selesa, bayangkan pula dengan rekaan tempat duduk ‘double decker’.
Namun begitu, terdapat seorang pereka tempat duduk kapal terbang yang menganggap reka bentuk hasil ciptaannya boleh merevolusikan perjalanan bajet.
Pada awalnya, konsep tempat duduk double decker Chaise Longue Alejandro Núñez Vicente ini dimulakan secara kecil-kecilan sahaja. Projek tersebut adalah projek kolej bagi remaja yang berusia 21 tahun itu.
Bagaimanapun, rekaan unik projek berkenaan akhirnya membuka peluang kepada gadis ini untuk dicalonkan dalam Anugerah Kabin Kristal 2021. Bukan itu sahaja, rekaannya turut menjadi sensasi internet dan mendapat perhatian pemain industri penerbangan.
Oleh kerana merasakan rekaan tersebut mampu melangkah jauh dan memberikan tuah kepadanya, Vicente kemudian memilih untuk menangguhkan sementara pengajiannya dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada pembangunan projek tersebut.
Malah, dia telah diberikan dana oleh beberapa pihak berkepentingan yang membolehkan projek tersebut terus ditambah baik sehingga ke tahap pengkomersialan.
Meskipun sesetengah orang kagum dengan inovasi tersebut, Vicente turut berdepan dengan kritikan apabila ada sesetengah pihak bimbang mengenai klaustrofobia (fobia, di mana seseorang memiliki rasa takut yang berlebihan terhadap tempat tertutup).
Serta, mereka percaya idea tempat duduk di bawah akan menjadi lebih teruk berbanding tempat duduk ekonomi pesawat semasa.
Menerusi temubual CNN Travel di Hamburg, Jerman, Núñez Vicente menjelaskan bahawa dia terbuka menerima kritikan dan berpendapat ia membuka ruang untuk dirinya meneroka idea baharu bagi menjadikan rekaannya bertambah sempurna.
“Tujuan saya di sini adalah bagi menukar tempat duduk kelas ekonomi untuk kebaikan manusia, atau untuk semua orang yang tidak mampu membayar tiket yang lebih mahal,” katanya.
Menurut laporan CNN Travel, mereka turut berpeluang merasai sendiri bagaimana suasanya jika terbang di atas tempat duduk kapal terbang dua tingkat itu.
Menguji Konsep

Pertama sekali adalah tingkat atas. Vicente telah mereka prototaip dengan dua buah tangga untuk pengembara menggunakannya untuk mengakses ke tingkat atas.
Tempat duduk di atas itu terasa sangat lapang dan selesa. Serta, terdapat banyak ruang untuk meregangkan kaki.
Kerusi prototaip tersebut tidak bergerak, tetapi ianya disediakan dalam kedudukan yang berbeza untuk menunjukkan cara mereka boleh berbaring.
Dia mereka bentuk ruang di antara tingkat atas dan bawah untuk pengembara menyimpan bagasi kabin.
Vicente menganggarkan kira-kira 1.5 meter yang akan memisahkan penumpang yang duduk dari bahagian atas pesawat.
Meskipun kedengaran seperti tidak dapat berdiri tegak di ruang itu, tetapi dalam barisan ekonomi biasa ramai juga yang sudah terbiasa untuk tidak dapat berdiri tegak.
Walaupun mungkin, pengembara yang lebih tinggi akan menjadi terhimpit dengan reka bentuk sebegini.
Seterusnya untuk tingkat di bawah pula, kekecewaan Vicente terhadap kekurangan ruang kaki adalah inspirasi utama untuk reka bentuk itu. Tempat duduk itu membolehkan penumpang meregangkan kaki dan terdapat tempat letak kaki untuk keselesaan tambahan.
Oleh disebabkan, paras tempat duduk yang lain betul-betul di atas dan di garis mata, ia terasa agak sesak. Tetapi jika tidak keberatan, ruang yang sempit dan merancang untuk tidur sepanjang penerbangan, ini boleh menjadi penyelesaian yang berkesan.
Pada mulanya, kerusi Chaise Longue ini dijangkakan untuk pesawat Flying-V, konsep kapal terbang baharu yang sedang dibangunkan di Universiti Teknologi Delft, Almamater.
Kini, reka bentuk itu dianggap boleh dilaksanakan dalam Boeing 747, Airbus A330 atau mana-mana pesawat berbadan lebar sederhana hingga besar.
Vicente bercita-cita tinggi dan yakin reka bentuknya mampu dijadikan realiti, tetapi dia akui bahawa idea tempat duduk kapal terbang yang luar biasa tidak selalunya tidak mampu dijadikan realiti.
Hal ini kerana, ia adalah proses yang panjang, dan peraturan ketat yang ada dalam industri boleh menjadi penghalang.
Selain itu, tempat duduk ekonomi kapal terbang tidak banyak berubah dalam beberapa dekad, walaupun sebenarnya terdapat banyak konsep rekaan semula yang dibangkitkan oleh pereka.
Sumber: CNN