Hadir sokong Indonesia Menentang Nepal, rakyat Malaysia di Kuwait dapat perhatian dan dipuji netizen Indonesia
Selain pasukan bola sepak negara kita yang berjaya ke Piala Asia 2023, rakyat Indonesia juga turut meraikan pasukan mereka yang juga layak selepas menumpaskan Nepal dengan jaringan 7-0 pada Rabu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jaber Al-Ahmad, Kuwait itu, Indonesia tampil garang dengan menguasai perlawanan tersebut.
Memetik laporan Sportstars.id, kemenangan itu juga menjadi detik bersejarah memandangkan pasukan bola sepak negara itu kembali beraksi semula dalam kejohanan tersebut selepas 15 tahun.
Di sebalik kemenangan besar itu, perlawanan pasukan mereka juga turut dimeriahkan dengan kehadiran penyokong di stadium tersebut.
Menariknya, bukan penyokong Indonesia sahaja yang berada di situ tetapi terdapat juga beberapa orang penyokong dari Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan Indonesia.
Detik-detik itu telah dirakam oleh Penasihat Diaspora Indonesia di Kuwait, Edi Rahmat.
“Sungguh luar biasa, sokongan ratusan diaspora Indonesia di Kuwait serta rakan sekutu Malaysia mewarnai kemenangan bersejarah di Stadium Antarabangsa Jaber Al-Ahmad, pada perlawanan terakhir menentang Nepal 7-0,” katanya menerusi video itu.
Dalam pada itu, Piala Asia 2023 akan berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai 2023.
Bagaimanapun, tuan rumah bagi kejohanan tersebut masih belum ditentukan lagi dan sedang dinilai oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sumber: sportstars.id