SINGAPURA – Seorang wanita di Singapura patah hidung dan retak pada bahagian gigi selepas ditumbuk sebanyak 5 kali oleh seorang penghantar makanan, lapor portal Mothership.
Menurut laporan Shin Min Daily News (SMDN), wanita itu memberitahu bahawa kejadian itu berlaku pada 14 Jun lalu berhampiran Blok 36 Chai Chee Avenue sekitar jam 7 malam.
Wanita tersebut iaitu Shen Mu Zhi, telah mengambil pesanan makanan dan sedang dalam perjalanan untuk menghantar makanan tersebut di blok HDB.
Ketika di hampir dengan pintu masuk bangunan tersebut, seorang penghantar makanan lelaki yang juga sedang menunggang e-basikal telah memecut laju basikal yang ditunggang ke arahnya.
“Dia hampir melanggar saya, jadi saya terkejut dan menjerit ‘hei’. Saya tidak dengar jawapannya dengan jelas dan meneruskan perjalanan saya untuk menghantar makanan,” kata Shen.
Apabila dia sudah selesai menghantarnya dan ingin turun ke bawah semula kira-kira tiga minit kemudian, Shen tidak menyangka bahawa lelaki itu sedang menunggunya di tingkat bawah.
Dia telah menghampiri Shen dan bertanyakan, “hei apa hei?”
Sebelum dia dapat menjelaskan apa-apa, lelaki tersebut telah bertindak menumbuk mukanya.
Lelaki itu dilaporkan telah memukulnya kira-kira lima kali secara berturut-turut, sehingga menyebabkan dia terbaring ke bawah.
Selepas memukulnya, lelaki itu terus berlalu pergi tanpa berkata apa-apa.
“Saya mahu melawan, tetapi saya tidak berkesempatan untuk membuat pukulan pun,” kata Shen.
Menurut Shen, lelaki itu lebih tinggi daripadanya. Dia menghubungi polis tidak lama kemudian dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut oleh ambulans.
Polis menyatakan bahawa terdapat seorang wanita berusia 48 tahun telah dihantar ke hospital dalam keadaan sedar dan siasatan lanjut sedang dijalankan, lapor Shin Min.
Hidung Patah Dan Gigi Retak
Serangan itu menyebabkan wanita tersebut patah hidung, bibir berdarah dan gigi depan bawah retak. Keesokan harinya, mata kiri wanita itu bengkak sehingga tertutup dan dia juga mempunyai luka yang jelas di bibir serta pipinya, menurut Shin Min.
Dia pulang dari hospital pada jam 2 pagi tetapi tidak dapat tidur kerana kesakitan. Shen telah menggunakan ais untuk mengurangkan bengkak dan mengambil ubat. Dia juga perlu makan makanan yang lembut kerana tidak boleh mengunyah.
Dia juga tidak berani keluar dari rumah, dan hanya akan berbuat demikian sambil memakai sepasang cermin mata hitam.
Tidak Mampu Memaafkan Lelaki Itu
Memandangkan dia tidak akan dapat meninggalkan rumahnya untuk bekerja selama sekurang-kurangnya seminggu, Shen berkata dia bakal kehilangan pendapatan bernilai S$1,000.
“Saya harap lelaki itu boleh dibawa ke muka pengadilan dengan cepat. Tetapi dia benar-benar melampaui batas. Walaupun dia meminta maaf kepada saya, amat sukar untuk saya memaafkannya.”
Dalam tempoh empat tahun bekerja sebagai penghantar makanan, Shen berkata dia selalu menjerit kepada penunggang yang menunggang secara melulu. Tetapi insiden itu tidak pernah mengakibatkan pertengkaran fizikal sehingga kini.
Sumber: mothership.sg