Sri Lanka dengan secara rasminya telah memberikan penjawat awam satu hari cuti tambahan setiap minggu, menjadikan keseluruhan tiga hari cuti seminggu. Keputusan itu diambil sebagai galakan untuk mereka meluangkan masa dalam bidang pertanian berikutan kebimbangan bakal berdepan kekurangan bekalan makanan.
Negara tersebut difahamkan mempunyai kira-kira satu juta kakitangan dalam sektor awam. Dengan penduduk kira-kira 20 juta orang, Sri Lanka ketika ini sedang berdepan dengan krisis ekonomi paling teruk dalam tempoh 70 tahun.
Selain itu, negara pulau ini juga sedang bergelut untuk membayar import kritikal seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan kerana menghadapi kejatuhan mata wang asing yang teruk.
Lewat Isnin lalu, kerajaan mereka meluluskan cadangan supaya pekerja sektor awam diberi cuti setiap Jumaat untuk tempoh tiga bulan yang akan datang.
Keputusan itu adalah untuk membantu sebahagian pekerja yang menghadapi kesukaran untuk datang bekerja akibat kekurangan bahan api di stesen-stesen minyak serta menggalakkan mereka menanam buah-buahan dan sayur-sayuran bagi membantu menyara diri serta keluarga.
Menerusi kenyataan di satu portal berita, kerajaan mereka menjelaskan bahawa adalah wajar untuk memberikan pegawai kerajaan cuti satu hari bekerja dalam seminggu dan menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti pertanian.
Perkara ini adalah sebagai jalan penyelesaian kepada kekurangan sumber makanan yang dijangka berlaku pada masa akan datang.
Pada Isnin lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Sri Lanka selepas berhubung dengan Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe.
Kejatuhan nilai rupee Sri Lanka, kenaikan harga komoditi global dan larangan baja kimia adalah penyebab dalam mendorong kenaikan harga makanan tahunan kepada lebih daripada 57% pada bulan April.
Pada penghujung bulan lalu, Menteri Pertanian Sri Lanka ,Mahinda Amaraweera menyeru para petani untuk menanam lebih banyak padi, dengan berkata “sudah jelas keadaan makanan semakin teruk”.
“Kami meminta semua petani untuk turun ke sawah milik mereka dalam tempoh lima hingga sepuluh hari akan datang dan mengusahakan tanaman padi masing-masing,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kerajaan turut menaikkan kadar cukai untuk membantu menambah baik kewangan mereka.
Sumber: BBC