Seorang wanita hamil yang bakal melahirkan anak pada Julai depan dilaporkan maut dipenggal oleh bekas teman lelakinya minggu lalu, lapor agensi berita People.
Difahamkan, pihak berkuasa di Alton, Illinois telah mendakwa suspek yang juga bekas teman lelaki mangsa di atas pembunuhan yang dilakukan pada 9 Jun, Kahmis lalu.
Menerusi video yang disiarkan di laman Facebook, Ketua Polis Alton Marcos Pulido menggelar suspek sebagai ‘raksasa’ kerana telah membunuh bekas teman wanitanya dengan sangat kejam meskipun dia pernah berhubungan dengan mangsa lebih kurang dua tahun.
“Ia benar-benar mengerikan apa yang berlaku pada mangsa, dan perkara itu tidak boleh dimaafkan,” jelasnya.
Menurut ibunya, mangsa akan melahirkan bayi pertamanya pada bulan Julai hadapan dan majlis ‘baby shower’ telah dijadualkan akan berlangsung pada hujung bulan Jun ini. Difahamkan, mayat mangsa telah ditemukan oleh ibunya sendiri, lapor People.
Dalam pada itu, suspek juga didakwa dengan beberapa pertuduhan lain antaranya membunuh bayi yang belum lahir, mengerat mangsa dan menyembunyikan kematian mangsa.
Menurut ibunya lagi, mangsa seorang yang baik dan sentiasa mengambil berat kepada semua orang dan mempunyai hati yang besar.
“Anak saya seorang yang akan melakukan apa saja demi sesiapa pun dan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu.
“Dia sedang menuntut di sebuah kolej dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Saya juga seorang jururawat dan dia juga seperti akan menuju ke arah yang sama.
“Saya hanya harap dia tahu bahawa semua orang sangat menyayanginya dan dia tidak pernah bersendirian,” jelas ibu mangsa, memetik People.
Sumber: People