Siakap Keli
trailer filem 35m

Filem 35MM: Antara Time Travel, Mengimbau Sejarah & Semangat Anak Bangsa

Bagi sesiapa yang begitu meminati karya sains fiksyen (sci-fi) berorientasikan pengembaraan masa atau disebut sebagai time travel, filem 35MM arahan Syahmi Sazli bakal dilayar untuk anda.

Baru-baru ini, Youtuber terkenal tanah air, Syahmi Sazli baru sahaja memuat naik trailer filem terbarunya, 35MM menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya.

Difahamkan, filem yang bakal ditayangkan di saluran Astro First (480) pada 21 Jun ini menampilkan tiga watak utama iaitu dirinya sendiri serta dua rakan layar peraknya, Yoe Parey dan Asif Suhaimi.

Sebelum ini, berdasarkan poster rasmi filem yang dipaparkan secara umum, mesti ramai yang tertanya-tanya, filem 35MM ini mengisahkan tentang apa sebenarnya?

Di sebalik barisan tiga orang pelakon utama (Syahmi, Yoe & Asif) yang menjadi subjek utama poster, terpapar beberapa imej lain di belakang yang menjadi bahan atau rencah bagi filem ini.

Ada seorang lelaki berpakaian Baju Melayu lama sambil memegang keris, ada seorang tentera Jepun berwajah ganas, ada dua lelaki berpakaian Cheongsam, malah ada pula penampakan beberapa buah pesawat perang lama Jepun di udara.

Sekilas pandang, mungkin ada segelintir yang berpendapat bahawa filem 35MM ini merupakan karya berinspirasikan sejarah. Tapi setelah trailer ditayangkan, barulah kita tahu apa plotnya yang sebenar.

Tersesat ke zaman silam dari sebuah kamera lama

Menurut Syahmi, filem 35MM ini mengisahkan tentang tiga orang sahabat yang tersesat semasa menjelajah ke beberapa lapisan masa pada zaman dahulu.

Jelasnya, filem ini merupakan cetusan ideanya sendiri untuk membawa penonton mengimbau kembali kehidupan pada zaman dahulu ketika era penjajahan British, Jepun dan sebagainya.

Sebab itulah jika diperhatikan pada trailer, kita akan nampak beberapa babak yang dilangsungkan pada zon masa yang berbeza. Sekejap ada tentera Jepun, sekejap ada orang kampung berkeris dan lain-lain.

Selain itu, walaupun trailer 35MM ini hanya berdurasi dua minit tujuh saat sahaja, namun ia sudah cukup padat dengan pelbagai elemen cukup ‘berseni’, antaranya menaikkan semangat anak bangsa.

Time travel ke masa lampau di tanah air sendiri

Satu perkara yang cukup menarik perhatian mengenai 35MM adalah idea. Tidak disangka, Syahmi mampu mencipta sebuah filem yang berorientasikan elemen pengembaraan masa atau kita sebut sebagai time travel.

Selama ini, penonton banyak disajikan dengan pelbagai karya time travel dari luar negara yang cukup ‘kritikal’ plot penceritaannya seperti Safety Not Guaranteed (2012), Interstellar (2014), DARK (2018) dan Tenet (2020).

Karya-karya time travel sebegitu biasanya lebih berlatarbelakangkan lokasi di negara ia dicipta. Kalau merujuk kepada lapan nilai berita (news value), salah satu nilai yang boleh dikaitkan ialah proximity (kedekatan).

DARK misalnya, ia mengisahkan tentang sebuah gua misteri di bandar Winden, Jerman yang merupakan titik lohong hitam tepat di pusat Bumi. Sesiapa yang masuk ke gua itu, mereka boleh tembus ke masa silam mahupun masa depan.

Menurut kalendar Lunar (berdasarkan intipati sains fiksyen siri tersebut), kitaran masa akan kembali bermula setiap 33 tahun. Apa yang berlaku pada tahun 1953 akan kembali berlaku pada 1986. Apa yang berlaku pada 1986 akan berulang semula pada 2019.

Ayat ‘keramat’ dalam cerita ini adalah, “Dulu, kini, esok, segalanya berhubung”. Siapa yang pernah tonton DARK sebanyak tiga musim di Netflix, pasti pernah ‘pecah kepala’ nak fahamkan plotnya, kan? Tapi ini cerita fiksyen di Jermanlah.

Namun kali ini, penonton berpeluang untuk ‘mengembara’ ke zon masa lampau di tanah air sendiri menerusi karya ciptaan pengarah tempatan kita. Bak kata loghat Kelantan, ‘sek kito!’.

Selari dengan nilai kedekatan (proximity) tadi, 35MM seakan memberi ‘jalan’ untuk penonton mengembara ke masa silam di tanah air sendiri menyaksikan bagaimana perjuangan datuk nenek kita berjuang menentang penjajah.

Walaupun ia diceritakan menerusi filem, namun sebagai penonton awam, di sinilah waktunya untuk kita kembali menyelami sejarah menerusi sebuah karya fiksyen di layar perak.

Kesimpulannya, artikel pendek yang ditulis ini mungkin tidak mampu menceritakan keseluruhan konteks filem. Namun jawapan yang boleh diberikan buat anda sebagai pembaca adalah, tontonlah filem ini.

Syahmi Sazli ataupun nama sebenarnya Muhd Syahmi bin Sazli, 27, merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Namanya semakin dikenali ramai selepas muncul dengan Drama Spontan yang pernah menghiburkan kita.

Syahmi sebelum ini pernah menerbitkan filem sulungya iaitu Mael Totey The Movie yang ditayangkan di Astro First pada 22 Oktober 2020 lalu.

Kejayaannya tidak sampai di situ sahaja. Syahmi juga pernah mendapat anugerah Ikon Pengarah Muda pada Januari 2021 oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Sumber: Facebook Syahmi Sazli Production / Collider / Digital Third Coast

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?