Beratus-ratus bangkai ekor penguin yang juga merupakan spesies penguin terkecil di dunia yang berasal dari New Zealand, telah ditemui bergelimpangan di sebuah pantai.
Walaupun pengguin kecil biasa ditemui negara tersebut, namun baru-baru ini penduduk tempatan melaporkan penemuan beratus-ratus bangkai haiwan tersebut.
Menurut laporan The Guardian, baru-baru ini penduduk tempatan telah menemui sebanyak 183 ekor penguin di Pantai Ninety Mile.
Pada pertengahan Mei, sebanyak 40 ekor bangkai penguin kecil ditemui manakala menjelang hujung bulan yang sama, 109 ekor bangkai lagi ditemui.
Manakala, dalam satu laporan orang awam menemui longgokan bangkai penguin tersebut berhampiran laluan pejalan kaki di sebuah pantai. Penduduk tempatan berspekulasi bahawa bangkai-bangkai penguin itu mungkin diambil dari pantai dan kemudian dibuang ke kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa bagaimanapun menggesa orang awam agar tidak mengusik bangkai penguin-penguin tersebut dan membiarkannya sahaja ditarik semula ke laut oleh ombak ataupun mereput secara semula jadi.
Penasihat Utama Sains Jabatan Pemuliharaan, New Zealand (DOC), Graeme Taylor yang juga seorang pengkaji burung laut, percaya bahawa lebih 500 ekor penguin dilaporkan mati dan hanyut sejak awal Mei 2022.
Malah, bilangan ini mungkin hampir mencecah 1,000 ekor. Dalam laporan The Washington Post pula, Taylor juga berkongsi bahawa nekropsi pada penguin yang mati menunjukkan mereka kebuluran dan menghidapi hipotermia.
Kematian penguin dengan jumlah banyak di New Zealand bukanlah perkara yang baru. Menurut laporan 2021 oleh DOC, “sesetengah tahap kematian [penguin kecil] adalah semula jadi dan telah dijangka”.
Selama bertahun-tahun dan ditekan dengan La Niña, fenomena cuaca yang membawa perairan yang lebih panas di lautan ke New Zealand, penguin mungkin mendapati bahawa makanan lebih terhad kerana ikan lebih menyukai untuk hidup di perairan yang lebih sejuk.
Oleh itu, berdasarkan laporan tersebut menyatakan bahawa penguin mati mungkin akan mula muncul di pantai seawal November.
Setakat ini, kes-kes melibatkan kematian dengan rekod lebih 1,000 ekor penguin setahun juga dilaporkan telah berlaku pada tahun 1974, 1985 dan 1998.
Walaubagaimanapun, Taylor menjelaskan peristiwa sedemikian semakin kerap berlaku. Terdapat sekurang-kurangnya tiga kematian besar-besaran dalam dekad yang lalu.
Antara punca yang dinyatakan adalah berkait rapat dengan perubahan iklam dimana cuaca menyebabkan perairan semakin panas sekali gus memburukkan lagi bekalan makanan penguin.
Tambahan itu, perubahan ini juga boleh menyebabkan penguin mudah jatuh sakit dan menjadikan haiwan tersebut lebih terdedah kepada pemangsa serta sukar untuk bersarang dan membiak.
Sekiranya peristiwa kematian seperti ini terus berlaku, populasi penguin kecil mungkin akan berkurangan dan tidak akan mempunyai masa untuk memulihara spesis ini.
BACA: 20 Ekor Kucing Maine Coon Dilapor Makan Mayat Tuan Sendiri, Ditemui Mati Selepas Dua Minggu
Sumber: Mothership