Seorang bayi berusia tujuh minggu maut selepas digoncang pengasuh gara-gara tidak berhenti menangis dalam satu kejadian di sebuah taska di Forsyth, Illinois di US baru-baru ini, lapor Metro UK.
Menurut laporan, pada awalnya suspek (pengasuh) berusia 24 tahun terbabit mendakwa bayi malang itu asyik menangis kesakitan kerana kepalanya dikatakan terkena bola soft ball.
Pegawai Polis Daerah Macon, Sarjan Roger Pope bagaimanapun berkata, suspek mengaku dia menggoncangnya kerana stress bayi itu tidak berhenti menangis, bukannya terkena bola seperti yang didakwa.
Difahamkan, kira-kira tiga jam selepas kejadian goncang itu, suspek segera menghubungi 911 (kecemasan) apabila panik melihat keadaan bayi tersebut yang tidak bergerak.
Dalam masa sama, jelas Pope, suspek turut mencari rujukan mengenai sindrom bayi goncang di Google selepas melakukan perbuatan tersebut (mungkin akibat panik).
“Suspek berkata, bayi tersebut tidak bernafas selama 20 minit (selepas ia digoncangkan) sebelum tekad menghubungi perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS).
“Kemudian, bayi itu telah dibawa ke Hospital St. John untuk tindakan lanjut, bagaimanapun dia (bayi) disahkan meninggal dunia pada keesokannya.
“Ia jelas sebuah perbuatan pengabaian,” kata Pope dalam laporan kes, memetik Metro UK.
Sementara itu, koroner daerah, Jim Allmon berkata, hasil bedah siasat mendapati bayi malang itu meninggal dunia akibat kesan hentakan pada bahagian kepala.
Suspek kini ditahan dan dipenjara di Mason County dengan jaminan sebanyak RM1.1 juta pada Jumaat.
Manakala mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut pada 15 Julai depan.
Sumber: Metro UK