Di sebalik sosok tubuh yang boleh menyanyi, berlakon, mengacara dan membuat orang ketawa, Allahyarhamah Adibah Noor juga sebenarnya merupakan seorang pencinta kucing.
Adibah Noor atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar telah kembali ke Rahmatullah kira-kira 7:30 malam semalam akibat kanser ovari tahap empat.
Pemergiannya sangat dirasai di seluruh negara. Rata-rata warganet tidak menyangka arwah pergi dalam sekelip mata tanpa diduga bahawa dirinya sedang menahan sakit selama ini.
Selain itu, kematian penyanyi lagu single berjudul Terlalu Istimewa (2006) itu turut diratapi oleh sebahagian besar warga komuniti Group Pencinta Kucing di Facebook.
Menerusi satu perkongsian oleh Nur Hartini Hamzah, arwah merupakan salah seorang artis yang sangat aktif membantu dan menyelamatkan kucing jalanan.
Memetik perkongsiannya, difahamkan arwah sendiri tidak pasti berapa banyak sudah kos yang telah dikeluarkan bagi menanggung segala keperluan kucing-kucing jalanan tersebut.
Tidak hanya makan dan minum, malah segala kos rawatan juga turut ditanggung arwah. Bagaimanapun arwah langsung tidak pernah ‘berkira’ untuk ‘berhabis’ wang demi ‘si bulus’ itu.
“Mari kita doakan semoga segala kebaikannya pada kucing-kucing itu diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah. Aamin,” jelasnya.
Perkongsian itu telah membuatkan para warga di group Facebook tersebut tersentuh hati dan membanjiri ruangan komen meratapi pemergian arwah.
Menurut seorang individu bernama Adinda Mawar, dia mendoakan agar arwah ditempatkan dalam golongan yang paling tinggi darjatnya.

Sementara itu, seorang individu lain, Fazliana Zainuri turut beranggapan bahawa kesemua kucing itu akan merindui tuan mereka dan mendoakan roh arwah dicucuri rahmat.

Tambahan pula, individu bernama Nick Muezza dan Qawira Awang turut menceritakan pengorbanan arwah Adibah Noor terhadap kecintaannya pada makhluk Allah itu.


Terdahulu, arwah pernah memuat naik mengenai kucing peliharaannya yang telah pergi meninggalkannya pada 10 Disember 2021 lalu.
Dalam perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya, arwah menjelaskan kucing kesayangannya, Bobby yang sudah mati berada dipangkuannya.
Jelasnya lagi, Bobby merupakan kucing yang hidup bersamanya sejak 15 tahun lalu.
“Bobby baru sahaja mati dalam pangkuan tangan saya.
“Terima kasih Allah atas Kurnia dan Kasih Sayang Mu yang telah Kau salurkan melalui Bobby yang Kau hantar kepadaku 15 tahun yang lalu ketika aku jatuh tersungkur.
“Syukur Alhamdulillah. Bobby mesti gembira kat syurga ok sayang. Tunggu ma kat sana ya. Bobby doa untuk ma ya sayang,” tulisnya.
View this post on Instagram
Namun, siapa yang menyangka bahawa kini, tuannya pula yang menyusul Bobby ke sana.
Arwah dikatakan menghidap kanser ovari tahap empat dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 7.30 malam di Hospital Gleanagles.
Latar belakang Adibah Noor
Adibah Noor Binti Mohamed Omar ataupun lebih mesra dikenali Adibah Noor, 52 tahun lahir pada 3 September 1970 di Kuala Lumpur. Arwah merupakan seorang pelakon dan penyanyi Malaysia yang dikenali ramai.
Sebelum bergelar pelakon, Adibah merupakan seorang guru Bahasa Inggeris selama dua tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya. Beliau juga adalah lulusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Arwah pertama kali mengikuti pertandingan nyanyian, Suara 90-an Nescafe dan menjadi johan pada tahun 1994.
Beliau banyak terlibat dalam industri seni tanah air seperti Gegar Vaganza 2021, filem Sepet (2005), Oh My English! (2012, 2013, 2017), Mamak Cupcake (2014) dan album Terlalu Istimewa (2005) serta Teman (2010).
Antara anugerah yang pernah diterimanya termasuklah Anugerah Juara Lagu 2006 (Vokal Terbaik) lagu Terlalu Istimewa, Anugerah Industri Muzik Malaysia 2011 (AIM) kategori lagu Pop Etnik Terbaik dan Anugerah Majlis Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018 kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Semoga Allahyarhamah Adibah Noor ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah, Al-Fatihah.
Sumber: Instagram adibahnoormohdomar, Nur Hartini Hamzah via Group Pencinta Kucing, Wikipedia